Sorting by

×

MELAKA PERUNTUK RM72.4 JUTA PERKASA WANITA, KELUARGA DAN KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PENGKALAN BATU 13 Jun – Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda kebajikan dan pembangunan sosial apabila memperuntukkan sebanyak RM72.4 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pemerkasaan wanita, keluarga dan komuniti sepanjang tempoh 2024 hingga 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat pembangunan secara inklusif dan menyeluruh.

Menurut beliau, pelbagai program dan bantuan yang dilaksanakan dalam tempoh tersebut telah memberi manfaat kepada golongan sasar termasuk 37,356 Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta 106,900 warga emas di seluruh negeri.

“Manfaat ini turut melibatkan penerima perkhidmatan terapi, pemulihan, latihan kemahiran dan program pembangunan komuniti yang dijalankan menerusi pelbagai institusi dan pusat kebajikan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Perpaduan dan Pembangunan Wanita Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu 2026 di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sehingga April 2026, sebanyak RM50,000 telah disalurkan menerusi Program Inspirasi Wanita yang memberi manfaat kepada lebih 600 kaum hawa di seluruh negeri.

Selain itu, ujar beliau, seramai 25 usahawan wanita perintis turut menerima bantuan meliputi latihan, bimbingan serta akses pasaran dengan nilai insentif keseluruhan berjumlah RM63,000.

Menurut beliau, agenda pemerkasaan wanita turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Melaka yang menyediakan hampir RM25 juta bagi membantu usahawan wanita bumiputera mengembangkan perniagaan serta memperluaskan penggunaan teknologi digital dalam operasi mereka.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan modal insan generasi muda menerusi peningkatan peruntukan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pendidikan Mahasiswa Melaka.

Katanya, peruntukan bagi inisiatif itu ditingkatkan kepada RM240,000 pada tahun ini berbanding RM70,000 pada tahun lalu sebagai usaha membantu lebih ramai mahasiswa Melaka melanjutkan pengajian dan mengurangkan beban kewangan keluarga.

“Semua inisiatif ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post KAD RAHMAH MEDIPULIH BANTU RINGANKAN KOS RAWATAN
Next post WRUR JADI PLATFORM PEMUDAH CARA HIDUP RAKYAT