
MELAKA ANJUR LEBIH 400 PROGRAM PERPADUAN, PUPUK KEHARMONIAN KAUM
PENGKALAN BATU 13 Jun – Sejak 2023 hingga 2026, lebih 400 program dan aktiviti berteraskan perpaduan telah dianjurkan di Negeri Melaka melibatkan penyertaan masyarakat berbilang kaum.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat menjadi antara agenda utama pentadbiran negeri.
Hasilnya, beliau memaklumkan, Melaka berjaya meraih skor tinggi sebanyak 0.816 dalam Kajian Indeks Perpaduan 2025 sekali gus menjadikan negeri ini sebagai antara model kecemerlangan sosial terbaik di Malaysia.
“Pencapaian ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan Kerajaan Negeri bersama pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan rakyat yang sentiasa mengutamakan nilai toleransi.
“Sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan sejarah, Melaka menjadi contoh terbaik bagaimana masyarakat berbilang kaum mampu hidup dalam suasana saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain.
“Dalam dunia yang semakin kompleks hari ini perpaduan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan yang wajib dipertahankan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Perpaduan dan Pembangunan Wanita Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu 2026 di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, program berteraskan perpaduan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri akan terus diperkasa bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat dapat dikekalkan.
Katanya, penganjuran Karnival Perpaduan dan Pembangunan Wanita DUN Pengkalan Batu juga menjadi platform terbaik untuk mendekatkan rakyat dengan kepimpinan selain mengukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai lapisan.
“Program seperti ini menjadi jambatan penting yang merapatkan hubungan antara kepimpinan dan rakyat, selaras dengan aspirasi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


