Sorting by

×

AUNM 2026 PENTAS TERTINGGI IKTIRAF USAHAWAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KESIDANG 13 Jun – Lebih 100 usahawan dari seluruh Melaka telah mengemukakan permohonan bagi merebut peluang untuk dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Negeri Melaka (AUNM) 2026 yang dijadual berlangsung pada pertengahan Julai ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, jumlah penyertaan yang diterima setakat ini menunjukkan sambutan menggalakkan daripada komuniti usahawan meskipun tempoh permohonan kini hampir berakhir.

Menurutnya, AUNM yang mula diperkenalkan tahun lalu bertujuan mengiktiraf pencapaian usahawan yang berjaya mengembangkan perniagaan masing-masing serta menjadi inspirasi kepada usahawan lain.

“Kita sudah menerima kira-kira 100 permohonan daripada usahawan di Melaka dan masih memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menghantar penyertaan dalam tempoh terdekat sebelum permohonan ditutup.

“Anugerah ini bukan sekadar pertandingan tetapi platform untuk menghargai usaha dan kejayaan usahawan yang berjaya membina perniagaan sehingga memberi impak kepada ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang dan Program Jelajah Halal Malaysia @ Melaka di Malim Food Town, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Interim Halal Development Corporation (HDC), Hanisofian Alias.

Mengulas lanjut, Allex berkata antara kejayaan yang pernah diketengahkan menerusi AUNM ialah seorang usahawan wanita yang memulakan perniagaan biskut kering dari rumah pada 2021 sebelum berjaya memiliki kilang sendiri dalam tempoh kira-kira lima tahun.

Katanya, terdapat juga pemenang kategori usahawan belia yang mengusahakan produk pelancongan berasaskan penternakan arnab dan ‘petting zoo’ yang mendapat sambutan baik daripada pelancong tempatan serta luar Melaka.

Beliau memaklumkan, sebanyak 10 kategori dipertandingkan seperti tahun lalu iaitu Usahawan Mikro, Usahawan Kecil, Usahawan Sederhana, Usahawan Belia, Usahawan Wanita, Usahawan Digital dan Inovasi, Usahawan OKU, Usahawan Industri Asas Tani (IAT), Usahawan Global serta Koperasi Terbaik.

“Setiap kategori menawarkan pengiktirafan kepada usahawan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang masing-masing.

“Kita berharap lebih ramai usahawan tampil mencuba kerana tidak rugi untuk menyertai anugerah ini, malah ia boleh menjadi platform memperkenalkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Penyertaan anugerah ini sepatutnya ditutup pada 3 Jun lalu tetapi kita lanjutkan sehingga 14 Jun bagi memberi peluang terakhir kepada usahawan yang masih belum mengemukakan permohonan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

942
Kongsi :
Previous post MELAKA ANJUR LEBIH 400 PROGRAM PERPADUAN, PUPUK KEHARMONIAN KAUM