Sorting by

×

DARI FIKSYEN KE REALITI, LEBIH 20 ROBOT AI DIBAWA KE MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KESIDANG 15 Jun – Teknologi sebelum ini yang hanya menjadi tarikan dalam filem fiksyen kini menjadi realiti apabila robot berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu bergerak, berinteraksi dan memberi respons dipamerkan kepada orang ramai bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.

Ia dibawakan khas pada Karnival Usahawan DUN Kesidang dan Program Jelajah Halal Malaysia @ Melaka di Malim Food Town, di sini.

Pengarah Projek Globaltik Commerce Sdn Bhd, Kelvin Ang berkata, pameran tersebut bertujuan membuka mata masyarakat khususnya generasi muda terhadap perubahan teknologi yang berkembang pantas serta semakin hampir dengan kehidupan seharian.

Katanya, pameran robotik berkenaan menampilkan lebih 20 jenis robot dengan fungsi berbeza termasuk kawalan suara, pergerakan pintar serta sistem interaktif yang memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.

“Ini merupakan kali pertama kami membawa pameran ini ke Melaka dan kita mahu beri peluang kepada orang ramai khususnya pelajar dan golongan muda untuk merasai sendiri teknologi AI dan robotik yang semakin berkembang.

“Antara tarikan utama termasuk robot permainan catur yang boleh menunjukkan reaksi seperti sedih apabila kalah dan ketawa apabila menang, selain robot interaktif yang boleh dikawal menggunakan suara,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, karnival berkenaan telah disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang.

Menurut Kelvin, turut dipamerkan robot jenis ‘Dobi’ yang boleh dikawal melalui arahan suara untuk melakukan pelbagai aksi seperti bersenam dan menyanyi mengikut arahan pengguna.

“Selain itu, pameran ini turut menampilkan robot berskala besar G1 ADU yang mempunyai keupayaan pergerakan pantas serta sistem kawalan berasaskan pemikiran (mind control).

“Robot ini juga mampu berinteraksi, menjawab soalan, bermain bola dan memberi respons kepada arahan pengguna. Harga bagi model ini boleh mencecah sehingga RM200,000,” katanya.

Beliau berkata, pameran tersebut bukan sekadar hiburan, sebaliknya memberi pendedahan awal kepada masyarakat mengenai perkembangan teknologi AI yang semakin pesat di peringkat global.

“Saya berharap pameran ini dapat memberi pengalaman baharu kepada pengunjung di Melaka serta menarik minat generasi muda untuk mendalami bidang teknologi masa depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

486
Kongsi :
Previous post LEBIH 1,300 WANITA MELAKA DAFTAR MAMMOGRAM PERCUMA
Next post CUTI SEKOLAH: MENARA TAMING SARI DIBANJIRI PELANCONG, REKOD 1,154 ‘RIDES’