
FESTIVAL SUNGAI MELAKA BERLANGSUNG TIGA BULAN SEHINGGA SEPTEMBER DEPAN
BANDARAYA MELAKA 14 Jun – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menganjurkan Festival Sungai Melaka 2026 yang buat pertama kali diadakan selama lebih tiga bulan dengan pengisian pelbagai program merentasi tiga daerah di negeri ini bermula hari ini hingga awal September depan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, penganjuran berskala besar itu dilaksanakan bagi memastikan manfaat dan kemeriahan festival dapat dirasai seluruh rakyat negeri ini selaras dengan aspirasi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
Katanya, festival itu bermula dengan perasmian menerusi acara simbolik penurunan perahu tradisional dari Hunan, China di Sungai Melaka dalam daerah Melaka Tengah sebelum siri program diteruskan di daerah Jasin dan Alor Gajah.
“Penganjuran ini julung kali kita laksanakan dan berlangsung lebih tiga bulan dengan melibatkan kesemua daerah di Melaka.
“Kita mahu rakyat bukan sahaja di Melaka Tengah tetapi juga di Alor Gajah dan Jasin dapat bersama-sama menikmati pelbagai aktiviti berteraskan sungai dan pantai yang menjadi identiti negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Perasmian Perahu Naga Shuang Rao atau Perahu Persahabatan yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Jeti Quayside, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Speaker Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerk Chee Yee; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan lebih 50 delegasi dari Wilayah Hunan yang turut memeriahkan majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata, antara jelajah festival itu membabitkan pelbagai aktiviti akan dijalankan di beberapa lokasi termasuk Sungai Melaka, Tasik Chinchin, Eco Cruise Sungai Linggi dan berakhir di Pesta Pantai Tanjung Bidara pada awal September depan.
Katanya, antara pengisian utama yang bakal dianjurkan ialah Pertandingan Perahu Naga Antarabangsa, kejohanan golf terbuka, perlumbaan Remote Control (RC) Boat, pertandingan memancing udang galah terberat, perarakan perahu berhias, penghasilan kuih keria terbanyak serta pelbagai aktiviti sukan air dan rekreasi pantai.
“Setiap daerah mempunyai tarikan tersendiri dan PPSPM telah menyusun program mengikut keunikan lokasi masing-masing bagi memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.
“Festival ini bukan sahaja bertujuan merancakkan sektor pelancongan, malah memperkenalkan warisan sungai dan pantai Melaka kepada pengunjung tempatan serta antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


