Sorting by

×

WRUR SUNGAI RAMBAI: RM300,000 NAIK TARAF JETI NELAYAN DARAT

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SUNGAI RAMBAI 6 Julai – Komuniti nelayan di Sungai Rambai bakal menikmati kemudahan infrastruktur lebih selesa apabila sebuah jeti nelayan darat bakal dibina di Pengkalan Leban tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi projek naik taraf tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, projek itu kini berada pada peringkat proses sebut harga sebelum kerja-kerja fizikal dimulakan.

“Projek naik taraf jeti Pengkalan Leban ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 90 nelayan berdaftar selain lebih 100 bot yang berpangkalan di kawasan tersebut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Hello Komoditi 2026 Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita DUN Sungai Rambai yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Padang Kampung Seri Mendapat, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Shafie Taib; Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Mewakili Ketua Pengarah MPOB Dr. Zaki Aman; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Siti Faizah berkata, DUN Sungai Rambai mempunyai dua jeti nelayan iaitu di Pengkalan Leban bagi nelayan darat dan Jeti Sebatu yang menempatkan nelayan laut.

“Selain untuk nelayan darat, jeti Pengkalan Leban ini juga boleh dimanfaatkan oleh nelayan laut juga dan kita jangkakan kerja-kerja naik taraf dapat dimulakan dalam masa terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

620
Kongsi :
Previous post KEBERSIHAN PASAR AWAM MELAKA MEMUASKAN
Next post MELAKA RANCANG LALUAN BAHARU, TINGKAT KECEKAPAN JARINGAN LOGISTIK