Sorting by

×

TERIMA KASIH KONGSI REZEKI BERI RAKYAT RASA ‘DURIAN MAHAL’

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

ASAHAN 5 Julai – Peluang menikmati durian premium seperti Black Thorn dan Musang King pada harga hanya RM10 seorang sempena Festival Durian Melaka ‘Kendurian’ 2026 menjadi pengalaman cukup bermakna buat ramai pengunjung yang selama ini hanya mampu melihat atau mendengar mengenai keenakan varieti durian berkenaan.

Bagi Mohd Hamdan Ahmad, 42, kehadiran ke festival itu bersama keluarga menjadi detik yang tidak akan dilupakan apabila impiannya untuk merasai durian Black Thorn akhirnya menjadi kenyataan.

Katanya, sebelum ini dia hanya mengetahui mengenai durian premium tersebut melalui cerita rakan-rakan dan media sosial kerana harga pasarannya yang agak tinggi menyebabkan dia tidak berpeluang untuk membelinya.

“Memang tidak sangka akhirnya kami sekeluarga dapat merasai ‘durian mahal’ Black Thorn sepuasnya. Sebelum ini hanya dengar nama sahaja disebabkan masih belum mampu untuk menikmatinya bersama keluarga.

“Hanya bayar RM10 seorang dan diberi masa kira-kira 20 minit memang puas dan berbaloi selain itu anak-anak amat gembira dengan pengalaman ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Festival Durian Melaka ‘Kendurian’ 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Duta Riang Villa, Selandar, di sini, hari ini.

Turut bersama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Menurut Mohd Hamdan, usaha dilakukan Kerajaan Negeri ini adalah satu inisiatif yang amat baik dan prihatin terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

“Program seperti ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat merasai durian premium yang mungkin sukar dibeli kerana harganya yang tinggi.

“Pastinya saya berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana bukan sahaja dapat menikmati durian bersama keluarga, malah menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri yang sentiasa berkongsi rezeki bersama rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

899
Kongsi :
Previous post JALAN LADANG 5KM BERI MANFAAT BESAR BUAT 200 PEKEBUN KECIL