Sorting by

×

SUKAN MELAKA 2026 PENTAS GILAP PERMATA SUKAN NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Sukan Melaka 2026 bukan sekadar medan pertandingan, malah ia menjadi platform mencungkil bakat atlet baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

Bagi peringkat negeri, seramai 3,275 atlet daripada 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan beraksi bermula 11 hingga 26 Julai ini, melibatkan sembilan jenis sukan iaitu bola sepak, futsal, bola jaring, sepak takraw, badminton, snuker, dam aji, konda kondi serta bola keranjang.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, keunikan penganjuran tahun ini ialah semua peserta di peringkat DUN diwajib merupakan anak jati kawasan mengikut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Manakala peserta berusia bawah 18 tahun pula perlu menggunakan alamat pada kad pengenalan sebagai syarat penyertaan.

“Taklimat serta undian semua acara telah diadakan pada 29 Jun 2026, manakala pertandingan akan berlangsung di beberapa venue sekitar Melaka sehingga 26 Julai.

“Majlis penutup dijadualkan pada 26 Julai di Stadium Hang Jebat dan akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, selain menyaksikan perlawanan akhir bola sepak serta penyampaian hadiah bagi semua acara dipertandingkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas mengenai penyertaan, Shanmugam berkata, data keseluruhan masih dalam proses pengemaskinian kerana terdapat beberapa DUN yang belum melengkapkan pertandingan di peringkat masing-masing.

“Pada edisi 2025, Sukan Melaka berjaya menarik penyertaan seramai 16,660 peserta berbanding 13,963 peserta pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 19.3 peratus hasil penambahan acara seperti badminton, konda kondi dan dam aji.

“Setakat ini, data penyertaan tahun 2026 masih belum dimuktamadkan dan jumlah peserta dijangka terus bertambah sebaik semua laporan rasmi daripada DUN diterima serta disahkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengenal pasti beberapa atlet berpotensi untuk diserap ke dalam program pembangunan atlet negeri sebagai persediaan menghadapi SUKMA.

“Berdasarkan pemantauan awal, kira-kira 10 atlet bola sepak, lapan futsal, lapan sepak takraw, enam bola jaring, enam badminton dan tiga atlet snuker dikenal pasti mempunyai potensi berdasarkan pencapaian, tahap kemahiran, kecergasan serta komitmen sepanjang kejohanan.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh usaha ini menerusi latihan berstruktur, pemantauan berterusan dan kerjasama erat dengan jurulatih serta persatuan sukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

529
Kongsi :
Previous post LEBIH 3,000 HELMET EKSKLUSIF MENANTI PESERTA FESTIVAL ANAK MUDA MELAKA
Next post MPHTJ ANJUR DUA PROGRAM KOMUNITI TANGANI DENGGI DAN HAIWAN TERBIAR