Sorting by

×

LEBIH 3,000 HELMET EKSKLUSIF MENANTI PESERTA FESTIVAL ANAK MUDA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Julai – Seramai 3,000 peserta bertuah Festival Anak Muda Melaka bakal membawa pulang helmet edisi khas bercorakkan bendera Melaka dengan slogan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ pada program yang dijadual berlangsung September depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, selain helmet eksklusif itu, sebanyak 20,000 helai baju-T rasmi festival turut disediakan untuk diagihkan kepada peserta.

Katanya, kedua-dua cenderahati itu akan diberikan secara percuma kepada peserta yang menyertai pelbagai pengisian sempena festival berkenaan.

“Kita akan beri secara percuma menerusi cabutan bertuah sebanyak 3,000 unit helmet eksklusif bersama 20,000 helai baju-T kepada peserta.

“Ia khas buat anak-anak muda yang menyertai Festival Anak Muda Melaka yang akan diadakan serentak dengan Pesta Pantai Tanjung Bidara dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada September depan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Sukan Piala Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa D’Aqua, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Turut hadir, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Adun Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah; serta Adun Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Festival Anak Muda Melaka dijangka menjadi antara acara utama sempena WRUR DUN Tanjung Bidara dengan pelbagai aktiviti yang memfokuskan penyertaan golongan belia dari seluruh negeri.

“Jadi saya harap semua anak muda di negeri ini tidak melepaskan peluang untuk menyertai festival serta pelbagai acara menarik yang sedang dirangka bagi memeriahkan program itu nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

715
Kongsi :
Previous post DUN AYER LIMAU JUARA KESELURUHAN SUKAN PIALA KETUA UMNO BAHAGIAN MASJID TANAH
Next post SUKAN MELAKA 2026 PENTAS GILAP PERMATA SUKAN NEGERI