Sorting by

×

DUN AYER LIMAU JUARA KESELURUHAN SUKAN PIALA KETUA UMNO BAHAGIAN MASJID TANAH

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau muncul juara keseluruhan Sukan Piala Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah selepas mengungguli kejohanan yang berlangsung selama dua hari, pada 4 dan 5 Julai lalu.

Sementara itu DUN Kuala Linggi muncul naib juara keseluruhan, diikuti DUN Lendu di tempat ketiga, DUN Taboh Naning di kedudukan keempat dan DUN Tanjung Bidara di tempat kelima.

Lebih 800 peserta mengambil bahagian dalam lapan acara yang dipertandingkan iaitu snuker, bola sepak, futsal, badminton, bola jaring, Dam Aji, Konda Kondi dan sepak takraw.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejohanan itu bukan sekadar medan mencari juara, sebaliknya menjadi platform mengukuhkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Dari kampung ke kampung, dari pasukan ke pasukan dan dari satu DUN ke satu DUN, kita dapat melihat bagaimana sukan mampu menyatukan rakyat.

“Ada yang turun sebagai pemain, penyokong dan penganjur, namun akhirnya semua membawa satu semangat yang sama iaitu semangat keluarga besar UMNO Masjid Tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Sukan Piala Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa D’Aqua, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin;

Turut hadir, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Adun Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah serta Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, acara itu merupakan satu-satunya kejohanan sukan di peringkat Parlimen yang dijadikan medan persediaan kepada pasukan sebelum membawa cabaran ke Sukan Melaka Peringkat Negeri.

“Bagi saya, inilah kekuatan Masjid Tanah. Kita tidak menunggu gelanggang dibuka di peringkat negeri, sebaliknya kita cipta ruang sendiri untuk rakyat turun bersukan, untuk pasukan membina keserasian dan untuk bakat-bakat baharu terus diketengahkan.

“Kejohanan ini juga menjadi bukti kekuatan masyarakat Masjid Tanah yang sentiasa menghidupkan budaya bersukan sebagai medium perpaduan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

622
Kongsi :
Previous post LEBIH 3,000 MERIAHKAN ‘KENDURIAN’ PARLIMEN MASJID TANAH
Next post LEBIH 3,000 HELMET EKSKLUSIF MENANTI PESERTA FESTIVAL ANAK MUDA MELAKA