
LEBIH 3,000 MERIAHKAN ‘KENDURIAN’ PARLIMEN MASJID TANAH
TANJUNG BIDARA 6 Julai – Kenduri durian atau ‘kendurian’ berlangsung di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah, hari ini, menggamit 3,000 pengunjung yang mahu menikmati keenakan isi raja buah itu.
Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri Melaka Datuk Muhammad Ahyad Abdullah berkata, inisiatif makan durian percuma hasil cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu bermula di DUN Taboh Naning, diikuti DUN Lendu, DUN Ayer Limau dan paling mendapat sambutan adalah di DUN Tanjung Bidara.
Katanya, sebanyak 2.5 tan durian jenis Durian Melaka disediakan pihak penganjur bagi program berkenaan di kesemua lima DUN dalam Parlimen Masjid Tanah.
“Alhamdulillah Ketua Menteri sendiri turun padang untuk menyantuni dan bersama-sama menikmati keenakan isi Durian Melaka pada penganjuran yang diadakan di DUN Tanjung Bidara.
“Matlamat utama program ini adalah untuk berkongsi rezeki dan selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang dilaungkan oleh Ketua Menteri kita,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program berkenaan yang berlangsung di Dewan Japerun Tanjung Bidara, hari ini.
Seawal jam 3.30 petang penduduk sekitar DUN Tanjung Bidara sudah mula menunggu di perkarangan dewan Japerun untuk menikmati durian percuma.
Kehadiran Ketua Menteri pada jam 6 petang yang menyantuni orang ramai memeriahkan lagi suasana makan durian percuma diadakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

