Sorting by

×

FIRMA BUMIPUTERA PERKASA INDUSTRI PENILAIAN HARTANAH MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Pembukaan pejabat urusan baharu syarikat perunding hartanah tempatan menjadi petanda positif terhadap perkembangan industri hartanah di Melaka yang terus berkembang dan mendapat keyakinan dalam kalangan pemain industri.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, perkembangan itu turut mencerminkan keyakinan berterusan pelabur dan penggiat industri terhadap prospek pasaran hartanah negeri meskipun sektor berkenaan berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos operasi.

Menurut beliau, penilaian hartanah merupakan komponen penting dalam setiap urusan berkaitan hartanah kerana ia menjadi asas kepada penentuan nilai sesuatu aset serta membantu memastikan transaksi dijalankan secara telus dan tepat.

“Penilaian hartanah adalah aspek yang amat penting dalam sebarang urusan membabitkan hartanah dan perlu diberikan perhatian oleh semua pihak yang terlibat dalam industri ini.

“Saya berharap kewujudan syarikat perunding hartanah milik Bumiputera seperti Ziyad Property Consultants akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak muda untuk mendalami bidang penilaian hartanah dan seterusnya melahirkan lebih ramai tenaga profesional tempatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Wisma Ziyad Property Consultants (Melaka) Sdn. Bhd. di Pusat Komersial Sutera Wangi, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Ziyad Property Consultants (Melaka) Sdn. Bhd., PMgr. Sr. Zainal Abidin Zakaria.

Mengulas lanjut, Rais berkata, kejayaan syarikat tempatan membuka pejabat urusan baharu dengan kekuatan kira-kira 30 kakitangan membuktikan industri perumahan dan hartanah Melaka terus berada pada landasan yang kukuh.

Ujar beliau, perkembangan itu memberi gambaran positif terhadap pertumbuhan sektor berkenaan selain menunjukkan permintaan terhadap perkhidmatan profesional hartanah terus meningkat.

“Keadaan ini menunjukkan sektor perumahan Melaka berada dalam keadaan yang sihat. Saya yakin dan percaya kita mampu mengekalkan kedudukan Melaka sebagai antara negeri yang menawarkan rumah mampu milik pada harga berpatutan demi manfaat rakyat.

“Kerajaan Negeri akan terus memberi nilai tambah kepada industri hartanah menerusi pelbagai inisiatif yang dapat merancakkan pembangunan perumahan serta memastikan ekosistem industri ini terus berkembang secara mampan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

558
Kongsi :
Previous post SWM ENVIRONMENT, KOLEJ KOMUNITI JASIN JALIN KERJASAMA STRATEGIK DALAM PENGURUSAN SISA MAMPAN
Next post MAIM AMBIL BERAT KEHIDUPAN 5 KELUARGA ASNAF SUNGAI RAMBAI