Sorting by

×

WISMA ZIYAD PROPERTY LAMBANG KEJAYAAN SYARIKAT HARTANAH BUMIPUTERA

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Syarikat perkhidmatan profesional hartanah, Ziyad Property Consultants (Melaka) Sdn. Bhd. terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri perundingan hartanah menerusi pembukaan Wisma Ziyad Property Consultants (Melaka) Sdn Bhd di Pusat Komersial Sutera Wangi, Batu Berendam.

Pengarah Ziyad Property Consultants (Melaka) Sdn Bhd PMgr. Sr. Zainal Abidin Zakaria berkata, pemilikan pejabat urusan baharu bernilai lebih RM1 juta itu mencerminkan pertumbuhan positif syarikat sejak penubuhannya pada tahun 2019.

Beliau berkata, pembukaan wisma tersebut merupakan satu pencapaian bermakna memandangkan syarikat itu memulakan operasi di sebuah pejabat sewaan di Taman Satu Krubong sebelum berkembang menjadi antara firma perunding hartanah yang semakin dipercayai pelanggan.

“Pembukaan Wisma Ziyad ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua pelanggan, rakan sinergi termasuk pihak yang telah bersama-sama menyokong perkembangan syarikat sejak dari awal penubuhan.

“Selain daripada komitmen seluruh warga kerja dan kepercayaan pelanggan, prestasi cemerlang Ziyad Property Consultants juga dipacu menerusi tawaran perkhidmatan khusus yang tidak disediakan oleh syarikat lain.

“Wisma baharu yang menempatkan 30 kakitangan ini pastinya akan menyediakan persekitaran yang lebih kondusif dan selesa kepada pelanggan serta rakan strategik yang ingin mendapatkan perkhidmatan dalam penilaian hartanah, agensi hartanah dan pengurusan harta,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Wisma Ziyad Property Consultants (Melaka) Sdn Bhd yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Menurutnya, sepanjang enam tahun beroperasi, syarikat itu turut melakar pelbagai kejayaan termasuk menerima pengiktirafan menerusi Malaysia Industry Personalities & Entrepreneurs Awards 2025 (Leadership Excellence Award 2025 Property Management) dan Bumiputera Business Excellence Award 2023 bagi kategori Emerging Brand In Real Estate Management.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan syarikat, malah meningkatkan lagi keyakinan pelanggan dan rakan sinergi untuk terus menggunakan perkhidmatan kami.

“Pastinya kami mempunyai sasaran dalam membangunkan lagi syarikat apabila menyasarkan untuk terus memperluaskan Ziyad Property Consultants ke pasaran yang lebih besar termasuk ke peringkat global,” ujarnya.

Sementara itu Rais berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penglibatan lebih banyak syarikat profesional seperti Ziyad Property Consultants dalam menyokong agenda pembangunan negeri.

Menurut beliau, kepakaran dalam bidang penilaian, perundingan dan pengurusan hartanah amat diperlukan bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja berkualiti, malah mampan serta memberi manfaat kepada rakyat.

“Justeru itu, saya berharap Ziyad Property Consultants (Melaka) Sdn Bhd akan terus memperkukuhkan kedudukan sebagai sebuah syarikat yang diyakini serta mampu menyumbang kepada pembangunan industri hartanah negeri dan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

871
Kongsi :
Previous post MAIM AMBIL BERAT KEHIDUPAN 5 KELUARGA ASNAF SUNGAI RAMBAI