‘TIADA BANTUAN TERLALU KECIL, TIADA MASALAH RAKYAT DIANGGAP REMEH’

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

PAYA RUMPUT 27 Julai – Kerajaan Negeri tidak pernah menganggap sebarang bantuan kepada rakyat sebagai terlalu kecil atau isu yang dihadapi masyarakat sebagai remeh, sebaliknya setiap keperluan akan diberi perhatian dan disusuli tindakan sewajarnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengalaman menyantuni rakyat menerusi Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat membuktikan setiap kawasan mempunyai cabaran dan keperluan yang berbeza, sekali gus memerlukan pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat.

Menurut beliau, jelajah yang sudah memasuki siri ketujuh itu membuka ruang kepada kerajaan untuk melihat sendiri realiti kehidupan rakyat dan memahami harapan yang sekian lama menanti perhatian.

“Daripada satu siri jelajah ke satu siri yang lain, satu perkara yang cukup jelas ialah di sebalik setiap persinggahan, ada seribu satu kisah kehidupan, ada keperluan yang berbeza-beza dan ada harapan yang telah sekian lama menanti untuk diberi perhatian serta pembelaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Kompleks As-Solihin, Kampung Paya Rumput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri akan terus berpegang kepada prinsip bahawa setiap masalah rakyat wajar diberi perhatian tanpa mengira saiz atau nilai bantuan yang disalurkan.

“Dalam pentadbiran ini, tidak ada bantuan yang terlalu kecil dan tidak ada masalah rakyat yang terlalu remeh. Apa yang mungkin kelihatan kecil pada pandangan kita, mungkin menjadi beban paling besar dalam kehidupan rakyat yang lain,” ujarnya.

Tegasnya, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran beliau akan terus memastikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan dan tidak akan membiarkan mana-mana golongan yang memerlukan terpinggir daripada perhatian kerajaan.

“Sebab itu, selagi ada keluarga besar Melaka yang memerlukan, kerajaan tidak akan berpaling. Kita turun, kita bantu dan kita usahakan jalan keluar supaya setiap rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

141
Kongsi :
Previous post SIRI JELAJAH BAWA KETUA MENTERI MASUK KE DALAM KEHIDUPAN RAKYAT
Next post BISTARI SANTUNI, SUNTIK SEMANGAT BUAT PESAKIT DI HOSPITAL MELAKA