
WRUR PAYA RUMPUT: BUAH-BUAHAN TEMPATAN SEMAI SEMANGAT PERPADUAN SI CILIK
PAYA RUMPUT 28 Julai – Kira-kira 30 Tabika dan Tadika Perpaduan di bawah Daerah Melaka Tengah berhimpun dalam suasana penuh ceria menerusi Program Jalinan Mesra Perpaduan @ KRT: Program Generasi Cilik Sukaneka sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Paya Rumput.
Program itu menghimpunkan ratusan murid tadika membabitkan penyertaan 15 kontinjen bagi menyemai semangat perpaduan sejak usia muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, pendekatan menggunakan tema buah-buahan tempatan berjaya mencetuskan suasana yang meriah selain memupuk semangat kerjasama dan saling hormat-menghormati dalam kalangan kanak-kanak.
“Program ini sangat menarik kerana setiap kontinjen terdiri daripada gabungan dua Tabika atau Tadika Perpaduan dengan mengetengahkan tema buah-buahan tempatan seperti rambutan, nanas, jambu, buah naga dan tembikai.
“Melalui pendekatan ini, anak-anak bukan sahaja bergembira menyertai aktiviti sukaneka, malah belajar bekerjasama, saling mengenali dan menghargai kepelbagaian dalam suasana penuh harmoni,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada program berkenaan yang berlangsung di Dewan MBMB Taman Paya Rumput Perdana, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta kenamaan lain.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri turut berkongsi detik paling membanggakan apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun dari Tadika Perpaduan Krubong Jaya dengan penuh yakin mengetuai bacaan ikrar.
Ujar beliau, ia sekali gus mencerminkan kejayaan usaha menyemai nilai perpaduan dan semangat cintakan negara sejak di bangku prasekolah.
“Inilah semangat perpaduan yang sentiasa dibawa oleh Jabatan Perpaduan. Anak-anak ini dididik sejak kecil untuk memahami nilai hidup bermasyarakat, mengenali Rukun Negara serta menghormati antara satu sama lain.
“Apabila asas ini dipupuk sejak usia muda, saya percaya mereka akan membesar sebagai generasi yang bersatu padu, saling menghormati dan bertanggungjawab terhadap negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


