
A.K.A.R JADI PEGANGAN KENEGARAAN, PANDU BINA MASA DEPAN BERSAMA – AHMAD ZAHID
AYER KEROH 26 September – Akronim A.K.A.R diperkenalkan sebagai pegangan kenegaraan yang merumuskan empat prinsip utama bagi membimbing masyarakat memahami sejarah, menghormati Perlembagaan, mengurus perbezaan secara beradab dan membina masa depan bersama.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pegangan itu dirumuskan daripada Musyawarah Nasional 3.0 bagi memastikan perbincangan mengenai sejarah Tanah Melayu tidak berakhir sebagai polemik, sebaliknya diterjemahkan kepada kefahaman dan tindakan.
Beliau berkata, huruf ‘A’ pertama dalam A.K.A.R membawa maksud ‘Asal-Usul Difahami Dengan Ilmu’, yang menuntut masyarakat memahami sejarah berdasarkan fakta, walaupun terdapat perbezaan dalam tafsiran.
“Tafsiran boleh berbeza, tetapi fakta tidak boleh dipilih mengikut selera,” katanya ketika berucap merasmikan Musyawarah Nasional 3.0 – Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Pengerusi Musyawarah Nasional Tan Sri Datuk Abdul Ghani Othman serta kenamaan lain.
Beliau berkata, huruf ‘K’ pula merujuk kepada ‘Kenegaraan Berpaksikan Perlembagaan’, dengan asas negara perlu difahami secara menyeluruh dan dihormati bersama.
Seterusnya, beliau memaklumkan huruf ‘A’ kedua membawa maksud ‘Adab Mengurus Perbezaan’, iaitu ketegasan dalam mempertahankan hujah perlu diseimbangkan dengan tertib ketika menghormati sesama manusia.
Sementara itu, huruf ‘R’ pula membawa maksud ‘Rakyat Berkongsi Masa Hadapan’, yang menegaskan bahawa tanah air merupakan tanggungjawab bersama dan kemakmurannya perlu dirasai semua.
“Tanah air ini tanggungjawab bersama, kemakmurannya mesti dirasai semua,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, berpegang kepada A.K.A.R, Musyawarah Nasional perlu menghasilkan sesuatu yang lebih bermakna selepas polemik dibongkar, termasuk membina kefahaman dan meneruskan usaha selepas musyawarah berakhir.
Beliau berkata, perbincangan mengenai Tanah Melayu bukan semata-mata bertujuan memenangkan hujah mengenai masa lalu, sebaliknya penting bagi memastikan masyarakat memahami akar sejarah agar tidak kehilangan haluan ketika membina masa depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


