
PRN MELAKA: BN-PN MAHU SEDIA 25,000 RUMAH MAMPU MILIK
AYER KEROH 6 November – Sebanyak 25,000 unit Rumah Mampu Milik disasarkan disediakan dalam tempoh lima tahun selain kemudahan pinjaman sehingga RM80,000 bagi membantu rakyat Melaka membina rumah di atas tanah sendiri.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, tawaran itu merupakan antara komitmen BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam memperluas peluang pemilikan rumah khususnya kepada golongan yang masih belum mempunyai kediaman sendiri.
“Kita menyasarkan penyediaan 25,000 unit Rumah Mampu Milik dalam tempoh lima tahun, selain menawarkan kemudahan pinjaman sehingga RM80,000 bagi pembinaan rumah di atas tanah sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Pengerusi PN Melaka Zulkifli Ismail; Ketua Pemuda BN Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Ab Rauf berkata, program Melaka Rumahku juga akan diteruskan menerusi pembinaan rumah baharu dan kerja-kerja baik pulih rumah bagi membantu keluarga yang memerlukan di negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


