
Konflik perdagangan AS-China tidak beri impak besar terhadap prestasi perdagangan Malaysia
KUALA LUMPUR 11 OgosĀ – Konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China yang bermula sejak awal 2018 tidak memberikan impak yang besar terhadap prestasi perdagangan Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan AS untuk tempoh Januari hingga Jun 2020 ialah sebanyak RM80.41 bilion, meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding tempoh yang sama 2019Ā manakala nilai eksport Malaysia ke AS meningkat pada kadar 2.4 peratus kepadaĀ RM46.15 bilion dan import pula bernilai RM34.26 bilion, meningkat 4.1 peratus.
Hampir 80 peratus daripada eksport Malaysia ke AS disumbang oleh produk elektrik dan elektronik, produk keluaran getah, peralatan optikal dan saintifik, produk keluaran kayu serta produk perkilangan yang lain, manakala produkĀ yang menyumbang kepada 76 peratus daripada jumlah import dari AS adalah produk elektrik dan elektronik, produk kimia dan bahan kimia, mesin dan peralatan, peralatan optikal dan saintifik serta produk perkilangan logam.
Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia dengan ChinaĀ bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 turut mencatat peningkatan sebanyak 0.3 peratus kepada RM149.16 bilion berbanding tempoh sama pada 2019.
Eksport Malaysia ke China pada tempoh yang sama bernilai RM69.43 bilion meningkat pada kadar 8.3 peratus disokong oleh eksport utama iaitu elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia, produk petroleum, pembuatan logam serta barangan perkilangan yang lain, manakala import menurun 5.8 peratus kepada RM79.73 bilion, di mana import utama merangkumi produk elektrik dan elektronik, mesin, peralatan dan bahagian, kimia dan produk kimia, produk petroleum serta pembuatan logam.
āNamun begitu, prestasi perdagangan Malaysia menunjukkan sedikit kemorosotan bagi tempoh Januari hinggaĀ Jun 2020 berikutan penularan pandemik COVID-19 yang bermula pada awal tahun denganĀ jumlah perdagangan berkurangan sebanyak tujuh peratus kepada RM833.36 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2019.
“Eksport menyusut 6.8 peratus kepada RM448.99 bilion dan import berkurang 7.2 peratus kepada RM384.38 bilion.Ā Lebihan dagangan pula bernilai RM64.61 bilion iaitu menurun 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2019,” kata kementerian ituĀ dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang ingin tahu mengenai kesanĀ perang perdagangan antara ASĀ dan China selain pandemik COVID-19 terhadap import dan eksportĀ Malaysia bagi 2020.
Bagaimanapun, MITI menjelaskan terdapat peluangĀ perniagaan bagi sektorĀ tertentu, contohnya sektorĀ keluaran getah iaitu eksport sarung tangan getah yang melonjak sebanyak 40.3 peratus bagi tempoh tersebut disokong permintaan tinggi dalam pasaran global berikutan pandemik tersebut.
“Peningkatan eksport turut dilihat bagi produk peralatan perubatan seperti kit pemeriksaan, pembasmiĀ kuman dan barangan persediaan pembasuh kulit,” katanya.
Menyedari perang perdagangan AS-China dan penularan COVID-19 yang masih berterusan, MITI menerusiĀ Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi menanganiĀ impak perdagangan ke atas Malaysia.
Antaranya, dengan memberi fokus kepada penggunaan teknologi digital dalam usaha membantu syarikat mengurangkan kosĀ promosi eksportĀ bagi memastikan syarikat pengeksport Malaysia kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa meskipun dalam situasi mencabar ini.
Memanfaatkan penggunaan platform digital untuk mengatur pemadanan perniagaan (eBizMatch) antara pembeliĀ berpotensi dengan syarikatĀ pembekal Malaysia, kementerian itu berkata, dari 1 Januari hingga 31 Julai 2020, sebanyak 576 padanan perniagaanĀ telah diadakan iaitu 395 pembeli asing telah dipadankan dengan 538 syarikat Malaysia yang menghasilkan potensi jualan sejumlahĀ RM461.35 juta.
Selain itu, menerusi satu tinjauanĀ yang dilakukan, MATRADE telah memperluaskan skop Geran Pembangunan Pemasaran (MDG) meliputi aktiviti promosi perdagangan secara maya sejajar dengan Pakej PENJANAĀ yangĀ diumumkan.
MDG turut menampung 30 peratus kos logistik termasuk pengangkutan dan pergudangan bagi penghantaran produk keĀ luar negara, seiring dengan hasrat kerajaan untuk meringankan beban kewangan yang dialami syarikat pengeksportĀ Malaysia dalam menghadapi COVID-19.
“Bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Julai 2020, sebanyak 1,427 permohonan daripada 962 syarikat telah diprosesĀ dengan geran sebanyak RM14.56 juta telah disalurkan,” kata kementerian itu.
Menurut MITI, MATRADE juga akan mengadakan beberapa sesi Virtual Trade Clinic (VTC) iaitu satu platform khidmatĀ nasihat perdagangan bagi membantu syarikat mematuhi keperluan dan mengatasi cabaran eksport dalam usaha memulihkanĀ operasi dan perancangan eksport syarikat Malaysia.
Sebagai permulaan, MATRADE dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui ElectricalĀ and Electronics Productivity Nexus (EEPN) dan Machinery and Equipment Productivity Nexus (MEPN) menganjurkan VTC bagiĀ syarikat elektrikal dan elektronik.
— BERNAMA