Bashar dan Basheer penyeri Pantai Puteri

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PANTAI KUNDOR 13 Feb – Kehadiran dua unta jantan, Bashar dan Basheer memberi pengalaman baharu kepada pengunjung pantai peranginan Pantai Puteri di sini.

Meskipun haiwan itu melangkah perlahan, ia pasti mendebarkan mereka yang menunggang haiwan berkenaan atau menaiki kereta kuda yang diubah suai menjadi ‘kereta unta.’

Pemilik dua haiwan berkenaan, Ahmad Bakri Ali, 58, berkata, dia mengambil inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan pelancongan itu kepada pengunjung, terutama pelancong di pantai peranginan Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini.

Katanya, Bashar yang berusia 15 tahun akan ditunggang oleh pelancong manakala Basheer berusia sembilan tahun digunakan untuk menarik kereta berkenaan.

AHMAD Bakri memelihara Bashar yang berusia 15
tahun untuk menyediakan perkhidmatan menunggang unta di pantai peranginan Pantai Puteri, Tanjung Kling. Foto Din Ahmad

Jelasnya, Bashar dibeli pada harga RM27,000 ketika haiwan itu berusia
13 tahun manakala Basheer pada harga RM20,000 pada usia tujuh tahun dan kedua-duanya dipelihara di kandang Ahmad Bakri di Sungai Udang, kira-kira 10 kilometer dari Pantai Puteri.

“Saya memberi unta makan rumput napier dan palet atau dedak yang saya berikan kepada kuda di kandang itu dan Alhamdulillah, Bashar dan Basheer gemar makanan itu.

“Bashar diajar untuk membawa penumpang di atasnya manakala Basheer diajar menarik kereta kuda yang saya ubah suai menjadi kereta unta,” katanya ketika ditemui di Pantai Puteri hari ini.

“Setiap penumpang dewasa bagi kereta unta dikenakan bayaran RM10 manakala kanak-kanak RM5 dan bagi mereka yang ingin menunggang Bashar, caj RM10 bagi penumpang dewasa dan kanak-kanak dikenakan, katanya.

BASHAR diarah supaya duduk untuk membolehkan Tuan Muhammad Luqman naik di belakangnya sebelum ditunggang di Pantai Puteri, Tanjung Kling. Foto Din Ahmad

Sementara itu, pengunjung pantai yang datang dari Negeri Sembilan, Tuan Muhammad Luqman Tuan Man, 47 berkata beliau teruja menikmati pengalaman menunggang unta yang mendebarkan kerana faktor ketinggian haiwan yang hidup di padang pasir itu.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah menunggang unta sebelum ini dan peluang menunggang Bashar hari ini amat mengujakan saya.

“Begitu juga dengan anak saya yang seronok menyaksikan unta secara dekat, apatah lagi ketika menaiki kereta unta menyusuri pantai sejauh kira-kira 300 meter,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4053
Kongsi :
Previous post Sarang lebah sebesar bola takraw depan rumah
Next post Air surut punca Sungai Melaka keruh, kotor
Ubah saiz-+=