Bermain bara demi kekalkan tradisi Kuih Bakar Kuala Ina

Masa Membaca:3 Minit, 13 Saat

TERDEDAH kepada bahang bara api bagi tempoh yang panjang adalah satu situasi yang amat tidak menyelesakan lebih lagi ketika fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Namun ia dianggap sebagai perkara biasa bagi Pengurus Perusahaan Kuih Bakar Kuala Ina, Mastura Talip, 56, kerana itu adalah proses utama untuk menghasilkan kuih bakar berkualiti menggunakan cara orang lama.

Apa yang dilakukan Mastura secara tidak langsung mengangkat tradisi nenek moyangnya sejak puluhan tahun lalu sehinggakan nama Kampung Kuala Ina di Pulau Sebang hari ini sinonim dengan pusat pembuatan kuih bakar di Negeri Melaka.

WhatsApp Image 2023-04-30 at 1.34.54 PM
MASTURA

Dia yang merupakan generasi ketiga perusahaan itu mewarisi resipi pembuatan kuih bakar berkenaan daripada arwah ibunya ketika masih anak dara sekitar tahun 1970-an dan diteruskan hingga ke hari ini hingga menjadi sumber pendapatan utama keluarga.

Melangkah manghampiri gerai kuih bakar Mastura, penulis sudah dapat menghidu wangian aroma rempah yang digunakan untuk menghasilkan makanan tradisional itu.

Sesekali aroma kuih tradisional yang bercampur dengan asap kepulan kayu terus mengimbau memori suasana kampung yang menjadikan kuih bakar sebagai hidangan Aidilfitri mahupun majlis kenduri-kendara yang sinonim dengan budaya masyarakat Melayu di Negeri Melaka.

WhatsApp Image 2023-04-30 at 1.25.57 PM
PROSES menuang adunan kuih bakar yang sedia di masak ke dalam acuan perlu berdepan bahang api yang cukup panas.

Kata Mastura dia mengekalkan pembuatan secara tradisional kerana itulah amalan menjadikan perniagannya laris sehingga hari ini.

Kerana sudah popular Mastura turut menerima tempahan pelanggan dari Negeri Sembilan, Muar dan Johor selain turut menjadi persinggahan perantau atau pelancong datang dari Terengganu, Pulau Pinang, Itali serta Arab Saudi.

“Kita masih kekalkan cara orang lama ini sebab pelanggan memang mahukan cara itu. Bukan senang mahu kekalkan sebab kena tahan panas bahang api.

“Tapi itulah caranya menyebabkan ramai yang sanggup datang dari jauh sebab mahu tengok cara bakar guna kayu. Mereka kata dengan kaedah ini kuih bakar lebih wangi berbanding dibakar menggunakan ketuhar.

“Ada empat sabak digunakan untuk bakar kuih. Setiap sabak mampu memasak sehingga 30 biji kuih yang mengambil masa sekitar tujuh hingga 10 minit,” katanya.

WhatsApp Image 2023-04-30 at 1.28.24 PM
SABAK yang diubah suai menjadi tempat memasak kuih bakar menggunakan bara api kayu getah dan papan lapis menaikkan aroma makanan tradisi yang menjadi identiti penduduk di Kampung Kuala Ina, Pulai Sebang.

Menurutnya proses ubahsuai dilakukan bagi membolehkan sabak digunakan untuk memasak lebih banyak kuih berbanding cuma tujuh atau lapan biji sahaja sebelum ini.

Setiap hari Mastura bersama pembantunya menghabiskan masa untuk menyiapkan sekitar 300 hingga 1,000 biji tempahan sehari.

Selain menggunakan cara lama, keikhlasan dan mencari keberkatan dalam berniaga dianggap antara kunci utama perusahaan kuih bakar itu betahan sehingga sekarang.

WhatsApp Image 2023-04-30 at 1.33.46 PM
PROSES membungkus kuih bakar dilaksanakan untuk dihantar ke beberapa kawasan seperti Nilai, Negeri Sembilan serta pelbagai negeri sekitar.

“Kita gunakan kayu getah dan papan lapis yang kebiasaan dibeli pada harga RM300 selori. Kos itu tidak termasuk upah pembantu, tapi tidak mengapa asalkan saya dapat kekalkan tradisi ini.

“Sekarang saya dalam proses menurunkan ilmu kepada dua anak, harap mereka akan teruskan tradisi ini. Sebelum ini di Kuala Ina, ada beberapa lagi peniaga mengusahakan perniagaan seperti ini namun sayangnya terhenti begitu sahaja kerana anak-anak mereka tidak mahu teruskan.

“Ketika ‘berguru’ dengan arwah mak saya juga tidak pandai, tetapi melihat nilai komersial yang ada saya teruskan. Bantuan agensi kerajaan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tekun Nasional juga banyak membantu saya untuk kembangkan perusahaan ini,” katanya.

Kuih Bakar Kuala Ina yang menjadi identiti kebanggaan kawasan itu dijual dengan perisa rempah dan pandan perlu dimartabat sebagai makanan warisan bangsa dalam indusri pelancongan Melaka.

WhatsApp Image 2023-04-30 at 1.31.12 PM
KUIH Bakar Kuala Ina menawarkan dua perisa kuih bakar yang berperisa pandan dan rempah sedia menerima tempahan Aidilfitri dan kenduri kendara masyarakat Melayu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4779
Kongsi :
Previous post Penghuni dua kediaman terjejas, air sungai melimpah
Next post Waspada cuaca buruk pada sebelah petang
Ubah saiz-+=