Aidilfitri: Bomba Melaka sedia pos kawalan berhampiran lebuh raya, beku cuti 80 peratus anggota

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 26 April – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka bakal menempatkan beberapa pos bomba di seluruh negeri sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri.

Pengarahnya, Abu Bakar Katain berkata, pos-pos berkenaan bertujuan bagi memudahkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan khususnya berhampiran lebuh raya.

Katanya, antara pos bomba yang bakal ditempatkan ialah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, Plaza Tol Simpang Ampat dan Bemban.

“Pos-pos ini kita akan tempatkan seramai kira-kira tujuh krew secara bergilir-gilir yang mana jentera akan turut ditempatkan bagi kita melakukan respon awal.

“Selain lebuh raya, bermula semalam (25 April) juga, kita telah membuat rondaan di jalan-jalan persekutuan, negeri dan kawasan kampung bagi tujuan mengambil tindakan awal sekiranya berlaku sebarang insiden.

“Untuk Aidilfitri juga, kita hanya membenarkan 20 peratus anggota sahaja bercuti daripada keseluruhan kira-kira 500 anggota dan pegawai di negeri ini bagi melancarkan sebarang kerja-kerja penyelamatan dan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Aidilfitri dan Ops Raya Peringkat JBPM Negeri Melaka Tahun 2022 di Mydin MITC yang dirasmikan EXCO Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Zaidi Attan.

Sementara itu, Zaidi dalam sidang media turut mengingatkan pengguna jalan raya agar mementingkan aspek keselamatan sepanjang berada di jalan raya bagi mengurangkan sebarang risiko kemalangan.

Katanya, sikap pemandu itu sendiri memainkan peranan besar dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya terpelihara.

“Saya juga menyeru kepada orang ramai agar memastikan kenderaan diselenggara dengan baik, selain mengelakkan daripada sikap tergopoh-gapah yang bukan sahaja membahayakan nyawa mereka, bahkan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1126
Kongsi :
Previous post Skuad Cakna Kasih Ramadan ubah imej Mahkamah Syariah Melaka
Next post MSSB kongsi rezeki bersama pemandu teksi dan kereta sewa
Ubah saiz-+=