Skuad Cakna Kasih Ramadan ubah imej Mahkamah Syariah Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 26 April – Mahkamah Syariah Negeri Melaka melancarkan Skuad Cakna Kasih Ramadhan 2022/1443 bertujuan menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik di negeri ini sepanjang Ramadan.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Mahkamah Syariah Negeri Melaka serta Persatuan Peguam Syarie Malaysia Negeri Melaka itu telah dirasmikan oleh EXCO Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri Datuk Kalsom Nordin, baru-baru ini.

Kalsom dalam ucapannya merakamkan tahniah kepada Mahkamah Syariah Negeri Melaka yang berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap institusi berkenaan menerusi kerja-kerja amal dan kebajikan yang dijalankan.

“Program sebegini akan mengubah tanggapan masyarakat bahawa Mahkamah Syariah bukan sahaja tempat untuk menjatuhkan hukuman, tegas dan adil dalam menyelesaikan pertikaian antara pihak-pihak, sebaliknya Mahkamah Syariah boleh memperuntukkan ruang untuk melakukan program kebajikan dan infaq.

“Ini akan meningkatkan imej Mahkamah Syariah di sisi masyarakat dan memberi persepsi yang positif. Program seperti ini dapat mendukung aspirasi kerajaan yang menepati teras ‘Perkongsian Kemakmuran’ yang memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

“Saya berharap maklumat penerima disalurkan terus kepada saya untuk tindakan susulan memandangkan program seperti ini memberikan impak yang lebih besar dan terarah kepada golongan sasar yang mungkin selama ini terlepas pandang oleh pelbagai pihak,” katanya ketika merasmikan program berkenaan, semalam.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Abdul Razak Mat Nayan, Hakim Makamah Tinggi Syariah Azmi Ibrahim, Ketua Pendaftar Mohammad Zulkhairi Aziz, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Negeri Melaka (PGSM) Datuk Adli Ithin dan jawatankuasa terlibat

Sementara itu, Mohd Nadzri berkata, seramai 180 penerima terdiri daripada fakir miskin dan golongan tidak bernasib baik menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas menerusi program berkenaan.

Katanya, agihan sumbangan itu dijalankan melalui konvoi 15 kenderaan ke rumah-rumah penerima.

“Kita cukup bertuah kerana menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM20,500 untuk menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin dan fisabilillah seluruh negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1160
Kongsi :
Previous post Pengarah syarikat, penganggur nafi sogok juruteknik TNB
Next post Aidilfitri: Bomba Melaka sedia pos kawalan berhampiran lebuh raya, beku cuti 80 peratus anggota
Ubah saiz-+=