Akademi Dalam Industri, sedia pekerja mahir

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 28 Mac – Inisiatif Akademi Dalam Industri (AiI) dilaksanakan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mampu mewujudkan jaringan kerjasama yang mantap dalam aspek pembangunan tenaga kerja berkemahiran pada masa hadapan.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, inisiatif itu dilihat amat penting bagi membantu Melaka menyediakan lebih ramai pekerja mahir mengikut kehendak industri.

Jelas beliau, inisiatif itu juga seleras dengan fokus Melaka yang kini aktif menarik lebih banyak pelaburan dalam pelbagai bidang industri berteknologi termasuk dari luar negara.

Khaidhirah berkata, jaringan bakal diwujudkan itu bukan sahaja memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat Melaka sebaliknya industri beroperasi di negeri ini dapat meningkatkan lagi tahap produktiviti mereka.

Namun katanya, usaha itu perlu diperkasakan lagi menerusi pembabitan aktif lebih banyak pihak industri agar kekosongan, kelompongan atau kesenggangan pekerjaan berlaku dapat diisi.

“Kalau dilaksanakan dengan baik inisiatif ini akan membawa kesan positif kepada semua pihak, kita berharap daripada 30 syarikat mengambil bahagian dalam sesi libat urus, separuh atau 50 peratus akan aktif bersama AiI.

“Tahun lalu inisiatif ini sudah dilaksanakan, namun hanya membabitkan lima syarikat, mungkin disebabkan industri tidak faham maksud sebenar program ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus AiI Bersama Industri di Melaka diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin; Timbalan Ketua Pengawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Lim Chow Beng dan Ketua Pengarah MPC Zahid Ismail.

Katanya, antara industri mengambil bahagian dalam AiI pada tahun lalu adalah Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) dan Farm’s Best Food Industries Sdn Bhd.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

178
Kongsi :
Previous post Rumah dipecah masuk, senapang bersama 200 peluru hilang
Next post Ab Rauf pacu Melaka ke tahap lebih baik
Ubah saiz-+=