Aksi MU, Kedah ditunda lagi, venue ditukar ke Stadium Cheras

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MELAKA 3 Okt. – Akasi Liga Super membabitkan Melaka United dan Kedah yang sepatutnya berlangsung esok dipinda sekali lagi kepada Isnin, 5 Oktober.

Perkara itu diputuskan pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, venue perlawanan itu yang sebelum ini dijadual berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar juga telah berpindah ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Jelasnya, perkara itu diputuskan selepas mendapat permohonan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) dan kemudiannya dipersetujui secara bersama kedua-dua presiden iaitu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

“Mereka bersetuju untuk meminda tarikh dan venue perlawanan yang dijadual di Stadium Darul Aman, Alor Setar ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras disebabkan khuatir dengan keadaan COVID-19 di Kedah berada dalam paras yang membimbangkan.

“Jadi bagi memastikan kelancaran perlawanan itu, kedua-dua pasukan telah mencapai kata sepakat untuk mengadakan perlawanan di Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2020,” katanya.

Terdahulu, MFL dalam satu kenyataan rasmi sebelum ini telah bersetuju untuk meminda tarikh perlawanan Kedah dan Melaka di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 2 Oktober 2020 kepada 4 Oktober 2020.

Keputusan itu dicapai apabila menerima permohonan daripada pasukan Melaka yang terpaksa menjalani proses kuarantin selepas pulang dari Sabah pada 28 September lalu.

Views:

345
Kongsi :
Previous post Kegemilangan pendidikan anak Melaka dititikberatkan
Next post Dua kapal berlanggar di Perairan Tanjung Kling
Ubah saiz-+=