Al-Quran peninggalan arwah anak selamat dalam kebakaran
KLEBANG 20 Jan – “Saya terkejut apabila diberitahu dua naskah Al-Quran yang berada di ruang tamu tidak terbakar sedangkan barang lain tiada yang terselamat,” ujar Habibah Mad Sab, 63, mangsa kebakaran di Taman Kenanga, Klebang, di sini.
Rumah Habibah antara tiga yang musnah dalam kebakaran kira-kira jam 4 petang tadi.
Menurut Habibah, Al-Quran itu dibeli oleh arwah anak lelakinya dan diletakkan di atas almari di ruang tamu.
“Ketika kejadian saya tinggal seorang diri dan anak lelaki keluar bekerja jadi tidak ada satu barangan pun dapat diselamatkan ditambah dengan keadaan saya yang sakit lutut.
“Saya hanya menyedari kejadian itu ketika ingin mengambil wuduk dan ternampak kepulan asap dari tingkap,” katanya.
Katanya, dia yang bergegas keluar kemudian ternampak anak jiran berusia 11 tahun dalam keadaan cemas dan berdiri berhampiran tilam yang sedang terbakar di rumahnya.
“Saya dan penduduk yang lain cuba memadam kebakaran namun tidak berjaya selain api merebak dengan pantas.
“Malah dua buah motosikal anak turut terbakar kerana tidak sempat selamatkan,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Mohammad Fazzil Mohammad Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.08 petang sebelum 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan BBP Melaka Tengah bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran itu membabitkan empat buah rumah dan tiga daripadanya musnah 100 peratus.
“Bagaimanapun, lima mangsa yang berada di rumah berjaya menyelamatkan diri.
“Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 20 minit dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta kerugian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.