Sorting by

×

Lorong SmartTAG diaktifkan semula – PLUS

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

PETALING JAYA 20 Jan – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bakal mengaktifkan semula lorong SmartTAG yang sebelum ini ditutup di beberapa plaza tol ekoran pelaksanaan pembayaran tol menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Syarikat itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pengaktifan semula itu membabitkan 19 lorong SmartTAG di 16 plaza tol.

Pengaktifan itu akan dibuat sebelum 25 Jan, khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Jelas kenyataan tersebut, ia merupakan antara langkah PLUS bagi mengatasi isu berkaitan RFID di plaza tol yang sebelum ini menimbulkan rasa kurang senang pengguna lebuh raya berkenaan.

“PLUS komited untuk mengembalikan semula 19 lorong SmartTAG di 16 plaza tol sebelum 25 Januari depan untuk kelancaran trafik sempena Perayaan Tahun Baharu Cina.

“Selepas perayaan ini, iaitu pada pada 19 Februari depan, 24 lorong SmartTAG akan diaktifkan di 18 plaza tol,” kata kenyataan itu.

Selain itu, PLUS memberi jaminan akan meningkatkan sistem RFID dan meningkatkan kadar pengesanan tag RFID di plaza tol bagi membolehkan kenderaan melalui lorong RFID dengan lebih pantas.

“Palang tol berganda yang lebih pantas akan dipasang di plaza tol dengan jumlah trafik yang tinggi bagi memastikan kenderaan dapat melalui lorong RFID dengan lebih pantas.

“Lokasi zon pengesanan RFID akan ditandakan pada permukaan jalan bagi membolehkan pengguna memastikan kedudukan kenderaan mereka dengan lebih baik dalam meningkatkan kadar pengesanan yang lebih tinggi ketika melalui lorong RFID,” tambah kenyataan tersebut.

Pada masa sama, PLUS turut menempatkan Pembantu Khidmat Pelanggan di semua 158 lorong RFID di 74 plaza tol kendaliannya untuk memberi bantuan kepada pelanggan RFID yang berdepan masalah, dengan menggunakan Peranti Pengesan Mudah Alih.

“Pembantu khidmat pelanggan PLUS akan memberi kupon Touch N Go kepada pelanggan yang mengalami masalah pengesanan RFID di lebuh raya PLUS.

“Pelanggan boleh terus ke mana-mana 24 Pusat Pemasangan Tag RFID di lebuh raya PLUS atau 35 lagi lokasi di luar lebuh raya itu untuk pemeriksaan.

“Jika tag didapati rosak, pihak Touch N Go akan menggantikan tag itu secara percuma,” kata kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan itu, PLUS akan terus bekerjasama dengan Touch N Go untuk meningkatkan bilangan pusat pemasangan RFID bagi memastikan pemasangan tag yang betul oleh ejen pemasangan yang terlatih.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1132
Kongsi :
Previous post 896 AEFI berkaitan dos penggalak diterima, 42 serius – KP Kesihatan
Next post Al-Quran peninggalan arwah anak selamat dalam kebakaran
Ubah saiz-+=