Angkat sumpah Exco Melaka pada Rabu – KM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 2 April – Istiadat angkat sumpah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang baharu akan berlangsung pada Rabu ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau sudah melengkapi senarai nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dicadang untuk diangkat sebagai Exco dalam tempoh 48 jam sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Beliau berkata, majlis istiadat akan diadakan sebelum keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Melaka.

“Seperti yang saya janjikan bahawa akan melengkapkan senarai nama yang dicadang sebagai Exco dalam tempoh 48 jam sudah saya sempurnakan.

“Semalam, saya juga sudah berunding dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan senarai nama itu diterima.

“Manakala Tun Mohd Ali pula saya akan berjumpa selepas beliau pulang dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengimbas perakam waktu pada hari pertama beliau bertugas di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut beliau, barisan Exco baharu yang akan diketengahkan nanti mampu mengimbangi pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Portfolio ini saya sudah kata ianya cantik dan menarik. Komposisinya nanti akan diberitahu.

“Selain itu, pastinya semua agenda yang dirancang dahulu akan diteruskan dan dilihat serta dikaji bagi penambahbaikan bagi kemakmuran serta kesejahteraan Melaka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, jawatan Timbalan Exco mungkin akan diwujudkan dalam struktur pentadbiran kerajaan negeri di Melaka dengan membabitkan beberapa portfolio.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk memastikan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dapat menganggotai barisan struktur Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1198
Kongsi :
Previous post Syawal umpama tidak bermakna
Next post Aura Syamsul Debat tarik 430 pengunjung Iftar di Hotel MITC
Ubah saiz-+=