Anjing masuk perangkap dilepaskan orang awam – MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 12 Julai – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meminta orang ramai agar memberi kerjasama yang baik dalam operasi menangkap anjing liar yang diadakan di sekitar Bandaraya Melaka.

MBMB dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi tersebut telah diadakan secara berkala sebaik menyedari peningkatan jumlah anjing liar di kawasan-kawasan perumahan khususnya pada waktu malam.

Bagaimanapun, terdapat kekangan di beberapa kawasan perumahan yang mana perangkap dipasang telah dibuka oleh orang awam bagi melepaskan anjing-anjing liar yang terperangkap.

“Pihak MBMB telah menjalankan operasi penangkapan anjing liar serta meletakkan perangkap bagi tujuan penangkapan dan membendung masalah ini yang mana setakat Januari hingga Jun 2022 sebanyak 461 ekor anjing liar telah ditangkap di kawasan pentadbiran MBMB.

“Namun ada beberapa kawasan termasuk di Taman Semabok Perdana (lokasi anjing menyerang penduduk) perangkap yang dipasang telah dibuka oleh orang awam menyebabkan perangkap itu tidak lagi dipasang di kawasan itu.

“Bagaimanapun, MBMB akan terus meningkatkan kekerapan operasi kawalan anjing liar bagi membasmi isu ini,” kata kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan seorang penduduk patah tangan dan kaki selain mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat dirempuh anjing liar yang berkeliaran di Taman Semabok Perdana.

Terdahulu, MBMB yang diwakili Ketua Ahli Majlis Clr. Abd. Razak Abu dan pegawai tertinggi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem telah melawat mangsa serangan anjing liar itu di rumahnya.

Dalam lawatan itu, MBMB turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

MBMB memaklumkan, selain operasi harian, pihak berkuasa tempatan itu juga telah menjalankan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan bagi membendung isu anjing liar itu.

Pelbagai program seperti Program Kembiri Anjing dan Kucing dan juga Program Anjing Angkat telah dilaksanakan sebagai usaha mengatasi masalah yang membelenggu penduduk itu.

“Orang ramai juga disaran supaya membantu MBMB dengan meningkatkan kebersihan kawasan setempat serta menyertai program-program kembiri anjing dan kucing yang dilaksanakan oleh pihak MBMB bagi mengawal populasi haiwan ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2371
Kongsi :
Previous post Pemilik anjing peliharaan diminta lebih bertanggungjawab
Next post Wanita, teman lelaki, disyaki hina Islam didakwa esok
Ubah saiz-+=