ATM pelawa rakyat Malaysia yang layak untuk jadi pegawai tentera

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempelawa rakyat Malaysia yang memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian), untuk berkhidmat sebagai pegawai dalam perkhidmatan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan adalah secara dalam talian melalui pautan Pengambilan Pegawai Kadet Lepasan Ijazah (Graduan) bagi tahun 2022 iaitu https://jmt.mod.gov.my/index.php dan tarikh tutup permohonan adalah pada 30 April.

“Antara syarat pelantikan adalah calon hendaklah berusia tidak lebih 27 tahun pada 31 Dis tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, calon mesti lulus pemeriksaan kesihatan dan pergigian yang dijalankan pegawai perubatan ATM di samping mempunyai tahap penglihatan yang baik tanpa kaca mata dan kanta lekap.

ATM memaklumkan calon juga harus lulus Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Vokasional Malaysia atau kelayakan setaraf dengan mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Malaysia termasuk lulus Ujian Lisan, Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Calon juga harus lulus Ijazah Sarjana Muda dengan memperoleh keputusan Purata Nilaian Gred Kumulatif 2.70 iaitu 65.5 peratus ke atas. Antara senarai jurusan yang memenuhi keperluan perkhidmatan adalah Sains Komputer, Perhubungan Awam dan Undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Calon yang terpilih akan dilantik sebagai Pegawai Kadet Lepasan Ijazah (Graduan) untuk menjalani latihan Pegawai Kadet di Akademi Tentera Darat, Port Dickson di Negeri Sembilan, Kapal Diraja Sultan Idris 1, Lumut di Perak dan Sekolah Latihan Pegawai, Akademi Tentera Udara, Alor Setar di Kedah.

Menurut ATM, calon yang layak akan dipanggil untuk menjalani pemilihan di pusat pemilihan yang akan dimaklumkan berdasarkan keperluan perkhidmatan dari masa ke masa.

“Calon yang berjaya terpilih akan dilantik sebagai Pegawai Kadet Lepasan Ijazah untuk menjalani latihan ketenteraan di kolej perkhidmatan masing-masing manakala Pegawai Kadet yang lulus akan dianugerahkan Tauliah Jangka Pendek dengan pangkat Lt Muda,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

705
Previous post Mewajah Merlimau 5 Tahun fokus sektor pelancongan
Next post Empat ditahan kes penemuan mayat lelaki yang ditetak, dibakar