Ayam kampung sumber pendapatan tambahan menguntungkan

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

LENDU 4 Sept. – Tiada reban seluas 40×40 meter untuk menternak ayam kampung dan tiada juga timbunan guni makanan tambahan untuk haiwan berkenaan.

Sebaliknya, hanya dengan memberikan sisa makanan kepada ayam kampung di belakang rumah sebagai makanan asasi, seorang peneroka FELDA mampu memperoleh pendapatan tambahan antara RM250 hingga RM300 sebulan.

Budi Hisab, 69, tidak mempunyai modal besar untuk memulakan penternakan ayam kampung secara komersial tetapi kira-kira 100 ayam kampung yang dipeliharanya dalam reban menyediakan peluang untuknya menambah pendapatan.

Beliau berkata, pada setiap pagi dan petang beliau akan memastikan haiwan berkenaan diberikan makanan sisa nasi dan lauk anggota keluarganya, selain sisa makanan daripada jiran sekeliling.

“Sisa makanan adalah makanan asasi yang mesti ada setiap pagi dan petang tetapi saya tidak boleh terlalu bergantung kepadanya kerana ayam yang semakin membesar memerlukan makanan tambahan.

“Saya terpaksa mendapatkan jagung halus berharga RM13.50 seberat 10 kilogram (kg) dan dedak untuk diberikan kepada ayam, terutama yang sudah melebihi umur tiga bulan kerana tanpa makanan tambahan, ayam lambat membesar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menjual ayam berkenaan di pusat memproses ayam di Kampung Solok Duku, hari ini.

Budi yang memiliki kebun kelapa sawit seluas empat hektar di FELDA Keratong 9, Pahang, memelihara ayam kampung di kediaman ibunya di Kampung Durian Daun, di sini.

Setiap bulan beliau membawa ayam kampung berusia lebih lima bulan untuk dijual kepada peniaga di pusat berkenaan, Shamsul Bokhari Abdul Ghani, 55, pada harga antara RM13 hingga RM14 sekilogram.

“Alhamdulillah, hari ini saya mendapat RM256 hasil jualan ayam seberat 19 kg dan ia amat bermanfaat sebagai pendapatan tambahan hasil jualan kelapa sawit di tanah rancangan,” katanya.

Sementara itu, Shamsul berkata, ayam kampung mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar haiwan berkenaan kerana ia lebih kenyal dan berkhasiat berbanding ayam daging.

“Kebanyakan pelanggan ayam kampung ialah masyarakat Tionghua yang gemar makan ayam kampung yang dimasak dengan herba kerana ia dikatakan berfungsi sebagai ubat beberapa penyakit.

“Saya jual ayam kampung hidup pada harga RM16 sekilogram manakala yang sudah diproses RM17 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata, walaupun harganya lebih tinggi berbanding ayam daging yang dijual antara RM7 hingga RM8 sekilogram, pelanggan tetap meminta ayam kampung kerana khasiatnya.

Views:

3132
Kongsi :
Previous post KM lawat UTC Melaka
Next post Bapa rogol anak didakwa di mahkamah
Ubah saiz-+=