Bapa rogol anak didakwa di mahkamah

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 4 Sept. – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol anak kandungnya dalam kejadian Jun lalu.

Tertuduh yang berusia 44 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama dibawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa merogol anak perempuannya berusia 13 tahun yang mana hubungan mereka tidak dibenarkan dibawah undang-undang untuk berkahwin.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara antara lapan sehingga 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cubaan rogol terhadap mangsa sama dan dia didakwa mengikut Seksyen 376(B)/511 kanun sama dan hukuman sama seperti di atas.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan video seks kepada mangsa.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Limbongan Permai, antara Jun sehingga Julai 2020.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad memohon supaya tiada sebarang jaminan dibenarkan dengan memgambil kira mangsa merupakan anak kandung dan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Nurfarah Amiera Mohd Azlan merayu agar jumlah jaminan rendah diberikan kepada tertuduh.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM 15,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah turut, menetapkan 5 Oktober depan tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.

Views:

590
Kongsi :
Previous post Ayam kampung sumber pendapatan tambahan menguntungkan
Next post MPHTJ cadang wujud taman bunga di Dataran Sejarah Ayer Keroh
Ubah saiz-+=