Bajet 2024 Melaka pada landasan menuju negeri maju

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 14 Disember – Bajet 2024 Negeri Melaka yang menyentuh pelbagai aspek membuktikan kerajaan mempunyai sasaran jelas dan sedang mengemudi Melaka menuju status negeri maju menjelang 2035.

Pensyarah Kanan Sosiologi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Prof Madya Dr. Abdul Rauf Ridzuan berkata, kemajuan sesebuah negeri atau negara boleh diukur menerusi aspek kesihatan yang cekap dan sistematik.

Beliau yang juga Ketua Penyelidik Kumpulan Komunikasi Kesihatan universiti itu berkata, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan khususnya Program Paramedik Komuniti dan Ambulans percuma akan mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

“Apabila inisiatif ini diperkenalkan ia dapat membantu rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan lebih pantas, sekali gus mampu memastikan taraf kesihatan rakyat menjadi lebih baik dan mengurangkan risiko kemalangan jiwa.

“Berbanding negara miskin, kadar kelahiran mereka tinggi tetapi ramai bayi meninggal dunia akibat sistem kesihatan yang tidak cekap.

“Jadi menerusi inisiatif yang diperkenalkan ini, mencerminkan Melaka berada pada landasan yang betul membentuk sebuah negeri maju kerana aspek kesihatan adalah perkara utama menjamin kebajikan rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Selain itu katanya, inisiatif Bijak Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahfiz, Ijazah yang menawarkan insentif kepada pelajar cemerlang akan memacu bidang akademik di Negeri Melaka ke aras lebih tinggi.

Katanya, menerusi insiatif itu ia mampu menjadi dorongan kepada anak muda untuk memburu kejayaan, sekali gus meningkatkan jumlah golongan muda yang berpendidikan tinggi.

Bagaimanapun, menurutnya peluang pekerjaan yang berkait rapat dengan taraf pendidikan juga perlu diperbanyakkan kerana ia akan mengurangkan kadar kemiskinan.

“Melihat kadar kemiskinan di Melaka boleh dikatakan masih tinggi jadi satu jalan penyelesaian perlu dilaksanakan dengan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan.

“Hal ini kerana rakyat tidak boleh bergantung kepada bantuan kerajaan, tetapi dengan pendidikan dan peluang pekerjaan semestinya dapat membantu mengatasi kemiskinan.

“Pada masa sama, kadar jenayah juga dapat dikurangkan berikutan peluang mengubah kehidupan yang terdesak dapat diatasi dengan pekerjaan yang disediakan,” katanya.

Pada masa sama beliau turut menyokong hasrat Kerajaan Negeri yang mahu melebarkan syiar Islam bagi memperkasa masyarakat arif dalam bidang kerohanian dan kaya dengan nilai-nilai murni.

“Menerusi inisiatif ini ia secara tidak langsung akan mewujudkan semangat etnosentrisme yang mana dapat melahirkan rakyat yang mencintai tanah kelahiran, agama dan bangsanya sendiri.

“Saya amat menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri yang menyarankan bacaan doa dan Surah Al-Fatihah dalam majlis utama selain inisiatif masjid yang dilengkapi dengan kalimah ayat zikir perlu diperluaskan.

“Penetapan nyanyian Negaraku dan Melaka Maju Jaya jam 10 pagi setiap Isnin serta pelbagai lagi usaha akan meningkatkan semangat cintakan negeri dan agama Islam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1026
Kongsi :
Previous post Polis terima laporan kanak-kanak setahun didera pengasuh di Sikamat
Next post Pengalaman bersawah di tengah bandar
Ubah saiz-+=