BAJET 2025: PERKASA KEBAJIKAN PENIAGA KECIL

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 4 Oktober – Selain menumpukan pemerkasaan ekonomi usahawan rata-rata peniaga kecil di negeri ini turut berharap Kerajaan Negeri menyediakan inisiatif khas bagi membantu mereka jika terjejas akibat bencana.

Seorang peniaga, Norhayati M.P.  Maricar, 57 berkata, cadangan itu wajar diangkat bagi memastikan kebajikan peniaga kecil terjamin.

Jelasnya, setakat ini tiada bantuan khas disediakan buat peniaga yang rugi akibat bencana alam khususnya banjir.

“Jikalau ada bantuan ini hanya menumpukan kepada kediaman sahaja tapi saya mencadangkan perlu ada bantuan khas bencana untuk peniaga sebab jika banjir berlaku kami tiada pelan sokongan lain untuk meneruskan perniagaan.

“Seperti kedai saya yang menjual barangan runcit dan basah terpaksa berdepan kerugian sehingga RM50,000 sebab banjir di kawasan ini berlaku setiap tahun.

“Meskipun ada bantuan khas banjir buat rakyat Kerajaan Negeri perlu memikirkan satu jalan untuk peniaga supaya jika kami rugi kerajaan boleh bantu, sekali gus mengekalkan punca pendapatan utama kami,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini kedainya di Lubok China.

Sementara itu, nada sama turut diluahkan seorang usahawan muda yang mencadangkan aspek kebajikan terutama bantuan daripada sudut fasiliti dan kemudahan peniaga kecil diperluaskan lagi.

Nur Aleya Sara Dahari, 22, berharap dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan di Melaka, Kerajaan Negeri perlu menambah dan memperluaskan pelbagai jenis bantuan kepada mereka terutama golongan muda.

“Untuk penjajakita harap aspek kebajikan seperti pembangunan fasiliti diberikan kepada kami sebab ia memang diperlukan.

“Dalam usaha menggalakkan perniagaan orang muda Kerajaan Negeri perlu menyediakan kemudahan dengan menambah kios-kios buat peniaga kecil supaya ia lebih teratur dan selamat.

“Sebab seperti saya kudrat seorang wanita kadangkala perlu kerja keras untuk mengemas barang perniagaan. Jjika ada kiosk kami akan berasa selamat dan kerugian akibat bencana dapat dielakkan,” katanya.

Sementara itu, Siti Noradeilla Mohd Sufian,25 mencadangkan selain menumpukan kebajikan Kerajaan Negeri perlu menyediakan insentif khas buat peniaga bagi mendapatkan barangan keperluan asas mereka dengan harga yang berpatutan.

Sebagai contoh katanya, isu pembekalan minyak masak buat peniaga kecil harus diselesaikan disebabkan mereka perlu membeli minyak botol yang agak mahal berbanding minyak paket bersubsidi.

“Jika kami disyaki menggunakan minyak masak paket sudah tentu kami akan dikenakan tindakan namun inilah dilema peniaga kecil sebab perlu mengeluarkan modal lebih untuk membeli minyak masak botol yang dijual dengan harga yang tinggi.

“Kerajaan Negeri perlu menyediakan satu jalan untuk peniaga kecil dalam aspek pembekalan barangan mentah sebab inilah antara kekangan yang kami hadapi disebabkan faktor kekurangan barangan ini dijual di pasaran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

101
Kongsi :
Previous post ‘DUYUNG’ CILIK MELAKA MILIKI POTENSI BESAR
Next post HANG TUAH CENTRE, MUZIUM PERTAMA GUNA TEKNOLOGI AI
Ubah saiz-+=