Bau busuk rupanya dari mayat datuk saudara

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 23 Mei – Seorang warga emas yang tinggal berseorangan ditemui mati dipercayai lebih 24 jam di sebuah pangsapuri di Jalan Laksamana Cheng Hoe, di sini, malam semalam.

Mayat P Purushotoman, 68, ditemui cucun saudaranya yang hendak menghantar makanan pada jam 7.30 malam, sebelum menyedari ada bau kurang menyenangkan daripada rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, rasa curiga dan tidak sedap hati anak saudaranya itu membawa kepada penemuan mayat berkenaan di ruang tamu rumahnya.

Menurutnya, berdasarkan keterangan lelaki berusia 41 tahun itu, kali terakhir dia berjumpa datuk saudaranya itu ialah pada Rabu lalu.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

“Ketika pintu rumah diketuk tiada sebarang jawapan daripada datuk saudaranya, selain lelaki itu juga terhidu bau kurang enak membuatkan dia kemudiannya menghubungi bomba, polis dan pasukan perubatan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan warga emas itu tinggal bersendirian sejak 10 tahun lalu selain menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi.

Ujarnya, hasil pemeriksaan warga emas itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam berdasarkan keadaan mayatnya ketika ditemui.

“Siasatan turut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.21 malam sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Kami difahamkan terdapat seorang warga emas di dalam rumah itu dan disebabkan pintu terkunci bomba terpaksa menggunakan alatan khas bagi membuka pintu.

“Sebaik pintu berjaya dibuka kami mendapati terdapat seorang lelaki berada dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Melaka dan disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

599
Kongsi :
Previous post ‘Lega boleh terus berniaga’
Next post Pemimpin wanita didakwa langgar SOP Aidilfitri PKP 3.0 sedang disiasat
Ubah saiz-+=