Pemimpin wanita didakwa langgar SOP Aidilfitri PKP 3.0 sedang disiasat

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 23 Mei – Pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan seorang pemimpin wanita dari sebuah parti politik di negeri ini yang menyambut Hari Raya Aidilfitri secara meriah dengan berkumpul beramai-ramai dan mengunjungi rumah ahli keluarga sedang disiasat pihak polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut selepas menerima satu laporan berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(4), Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021 (Akta 342).

“Kami masih menjalankan siasatan selepas menerima satu laporan baru-baru ini,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Baru-baru ini, pemimpin wanita berkenaan telah memuat naik lebih 20 keping gambar menyambut Aidilfitri bersama keluarga di laman Facebook miliknya.

Hantaran itu menjadi tular apabila ramai mempersoalkan ketidakpatuhan SOP pemimpin berkenaan memandangkan arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 12 Mei hingga 7 Jun ini yang melarang semua aktiviti ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun, hasil semakan mendapati hantaran berkenaan sudah dipadamkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post Bau busuk rupanya dari mayat datuk saudara
Next post Padah ‘ngengayau’ bergelang ‘pink’
Ubah saiz-+=