Padah ‘ngengayau’ bergelang ‘pink’

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

JASIN 23 Mei – Padah keluar membeli barang walaupun bergelang merah jambu, seorang lelaki berdepan kompaun di bawah Seksyen 15(1) kerana ingkar pemerhatian serta pengawasan kontak mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342).

Terdahulu, foto lelaki dalam lingkungan usia 50-an itu tular selepas dikesan membeli barang di sebuah kedai serbaneka di Taman Kesang Indah, di sini, dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung tindakan lelaki itu yang dipercayai melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 itu oleh jurujual premis pada jam 11.34 pagi tadi.

Beliau berkata, pengadu hanya menyedari pergelangan tangan lelaki berkenaan dipakaikan gelang merah jambu selepas lelaki terbabit selesai membuat pembayaran.

“Pengadu yang juga seorang wanita berusia 35 tahun memaklumkan lelaki berkenaan membeli barangan di premis berkenaan pada jam 10.44 pagi tadi.

“Selepas lelaki berkenaan selesai membeli barangan, pengadu ternampak di pergelangan tangan kanannya ada memakai gelang berwarna merah jambu dan disyaki sedang menjalani kuarantin,” katanya ketika dihubungi.

Susulan itu, beliau berkata, Bilik Gerakan COVID-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk tindakan lanjut.

“Anggota polis dan pegawai yang terlibat telah bergegas ke rumah lelaki berkenaan bagi menjalankan siasatan.

“Sekiranya lelaki itu didapati melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian tindakan dibawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dikenakan terhadapnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

549
Kongsi :
Previous post Pemimpin wanita didakwa langgar SOP Aidilfitri PKP 3.0 sedang disiasat
Next post Barangan kawalan, keperluan asas dan makanan stabil- KPDNHEP Melaka
Ubah saiz-+=