Belanjawan Melaka 2022: Permudahkan urusan rakyat, seimbang dan inklusif

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 14 Dis – Perancangan pembangunan yang bersifat mudah, seimbang dan inklusif perlu menjadi tunjang utama kerajaan negeri dalam membentangkan Belanjawan Melaka 2022 tidak lama lagi.

Demikianlah luahan rata-rata rakyat yang ditemui ketika tinjauan dibuat Melaka Hari Ini (MHI) mengenai perkara itu.

Bagi seorang pesara, Muhammad Razakir Abdullah, 59 tahun, dia memohon kerajaan negeri agar mempraktikkan tadbir urus yang baik serta seimbang dengan memperbanyakkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan di setiap agensi mahupun segenap kehidupan rakyat.

“Saya berharap ada peruntukan khas untuk kami khususnya mereka yang dah pencen ini untuk beraktiviti dan berpartipasi dalam program kemasyarakatan contohnya, buatlah lebih banyak tempat untuk kami beriadah, trek joging dan apa-apa yang boleh kita manfaatkan.

“Dengan ini, rakyat yang terkesan masa berlakunya COVID-19 tempoh hari dapat melepaskan tekanan dan Melaka jadi lebih sihat, seterusnya kuranglah masalah-masalah tekanan jiwa. Jangan fikir ekonomi sampai lupakan social. Kena seimbang,” katanya kepada MHI.

MUHAMMAD Razakir

Selaku rakyat Melaka, Razakir pada masa sama mencadangkan kerajaan negeri untuk menyediakan infrastruktur dan sistem jalan raya yang lebih efisien bagi mengurangkan kesesakan, seterusnya memudahkan pergerakan rakyat di dalam negeri sendiri.

“Melaka negeri yang sangat menakjubkan di mana kita lihat pelancong-pelancong luar yang datang ke sini cukup ramai sehinggakan nak masuk Melaka hujung minggu sesak.

“Jadi saya rasa perlu adalah infrastruktur jalan raya kena dipertingkatkan sebab rugi kalau orang Melaka nak melancong dalam negeri sendiri pun susah,” tambahnya.

Berbeza pula bagi Muhammad Fasarul Md Isa, 39 tahun, yang mengusulkan agar kerajaan negeri ketika ini menyediakan alternatif dan kemudahan dalam urusan pembelian rumah.

Ujarnya, memiliki rumah pada usia muda adalah penting demi kesenangan pada masa akan datang.

FASARUL

“Saya mohon pihak kerajaan untuk bajet akan datang ini usulkan supaya perumahan mampu milik diberikan keutamaan atau kuota kepada golongan B40 dan belia”

“Contohnya mereka (kerajaan negeri) boleh buat konsep sewa beli. Bila dah lima tahun seseorang itu sewa dan nampak dia ada pendapatan yang kekal, buka peluang untuk mereka beli rumah itu sebab mereka ini mungkin mampu tapi belum berstatus pendapatan tetap.

“Bagus kalau kita dapat galakkan mereka beli rumah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

636
Kongsi :
Previous post ADUN Bemban dilantik Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka berkuatkuasa hari ini
Next post Nasihat jangan tengok video lucah punca kes buli di MRSM Kuala Kangsar
Ubah saiz-+=