Beri peluang pada Hamidin teraju FAM – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 16 Jan – Presiden Persatuan Bolesepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyatakan sokongannya terhadap kepimpinan Datuk Wira Hamidin Mohd Amin menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau memohon semua pihak bersabar dan memberi peluang kepada Hamidin biarpun ada yang mendesak beliau meninggalkan kerusi badan induk itu.

“Janganlah disebabkan satu kegagalan itu kita minta (Hamidin) letak jawatan, sabar,…semua orang boleh berikan pandangan tapi janganlah satu kali gagal itu, dia gagal semuanya,

“Masing- masing boleh berikan pandangan (dan) saya selaku Presiden MUSA memberi pandangan Datuk Wira Hamidin masih lagi perlu diberi peluang.

“Bukan kegagalan itu akan berterusan, tidak, kita tak boleh salahkan (beliau atau) disebabkan pemain, jurulatih dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kongres MUSA ke-66 diadakan di Hotel MITC, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Sukan, VP Shanmugam dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MUSA yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam, Datuk Wira Justin Lim.

Sulaiman mengulas mengenai desakan segilintir pihak terutamanya netizen yang mahu Hamidin melepaskan jawatan susulan kegagalan skuad Harimau Malaya di Piala AFF di Singapura bulan lalu.

Beliau berkata, setiap pandangan dan kritikan netizen di media sosial terhadap FAM perlulah diterima dan ditambah baik demi masa depan persatuan itu.

“Netizen dia cakap apa pun boleh, jadi janganlah ambil semua desakan itu, kalau saya melihat netizen boleh hentam, apa pun dia boleh cakap,

“Kalau saya (umpamanya) memikirkan itu saja mengatakan saya tak boleh tadbir dan menguruskan negeri maka jatuhlah kerajaan ini kalau nak memikirkan netizen.

“Netizen memang boleh memberi pandangan, kita terima, kita ambil kita tambah baik mana yang kurang, kritikan itu kita terima sebaik mungkin, yang betul, betul dan yang salah tetap salah,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

818
Kongsi :
Previous post Penganggur ditahan disyaki penggal kepala ibu
Next post Liga Melaka mesti dikembalikan tahun ini – Sulaiman
Ubah saiz-+=