‘Besar makna seekor ayam percuma’

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KLEBANG 20 April – “Walaupun seekor ayam namun sedikit sebanyak dapat membantu dalam persiapan raya,” itu kata penerima sumbangan Encum Mat, 66.

Menurut warga emas itu, selepas diberitahu namanya terpilih antara penerima sumbangan pada Majlis Penyerahan Kit Raya di Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) Klebang, ia sudah cukup membuatnya bersyukur.

“Alhamdulillah tahun ini sekali lagi diberikan rezeki apabila terpilih lagi menerima sumbangan. Dengan seekor ayam, beras dan kit makanan ia amat memadai.

“Dengan sumbangan diterima ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan,” katanya yang menetap di Kampung Permatang Klebang.

Terdahulu Majlis Penyerahan Kit Raya kepada 200 penerima itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Ujar Encum, dia amat berharap program sebegitu dapat diteruskan lagi oleh pihak penganjur pada tahun akan datang.

Bagi seorang lagi penerima, Salehin Hamid, 72, pula berkata, sumbangan yang diterima sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan barangan dapur.

“Dengan keadaan diri yang kurang sihat dan tidak bekerja perbelanjaan bergantung kepada bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) jadi apabila ada bantuan sebegini amat melegakan,” katanya.

Sementara itu penganjur program, Datuk Mohd Yusoff Abu Hasan berkata, penyerahan kit raya itu adalah program tahunan yang diadakan pihaknya dalam membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

“200 penerima sumbangan ini bukan sahaja masyarakat Melayu malah termasuk juga Cina, India dan Portugis. Konsep ini sejajar dengan seruan Perdana Menteri dan kita melaksanakan apa yang dihasratkan.

“Untuk program ini, selain beras dan kit makanan turut diagihkan kepada penerima adalah seekor ayam segar dan kesemua ini membabitkan peruntukan antara RM30,000 hingga RM40,000,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1215
Kongsi :
Previous post 73 anggota JPJ Melaka bertugas sepanjang Aidilfitri
Next post Individu 18 tahun digalak tubuh koperasi
Ubah saiz-+=