BN sedia program besar pulih ekonomi Johor, teruskan Projek HSR – Mohamed Khaled

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

JOHOR BAHRU, 2 Mac – Barisan Nasional (BN) akan menyediakan beberapa program besar untuk memulihkan ekonomi Johor selain komited membangunkan sosioekonomi di semua daerah sekiranya diberi peluang menerajui negeri ini.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata BN juga menyokong segala usaha untuk meneruskan projek-projek yang tidak dapat dilaksanakan sebelum ini termasuk kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dengan Singapura.

“Pada 2016 hingga 2018 malah lebih awal daripada itu, Johor bukan sahaja terima pelaburan asing (FDI) yang tertinggi tetapi juga mencatat lebihan melebihi paras nasional setiap tahun, (tetapi) ia terencat apabila BN gagal bertahan menjadi kerajaan pada 2018.

“Jadi, dalam manifesto Ikhtiar BN Johor, BN fahami dan menyedari potensi Johor serta tahu ekosistem yang sesuai dan dasar pragmatik yang boleh memastikan kita bongkar balik potensi Johor semasa kita terajui sebelum 2018,” katanya ketika ditemu bual dalam program Minda Profesor Negara, PRN Johor, yang disiar secara langsung menerusi Facebook Majlis Profesor Negara hari ini.

Program berkenaan turut disertai penganalisis politik daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Prof Madya Dr Hamidin Abdul Hamid dan Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Mengenai perancangan pelan pembangunan melibatkan daerah-daerah, Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata BN antaranya akan menumpukan usaha menjadikan daerah Muar sebagai hab perabot negara.

“BN komited supaya dapat dibangunkan ekonomi semua daerah kerana dahulu kita memang sudah ada pelan perancangan pembangunan ekonomi setiap daerah antaranya Muar diberi fokus jadi hab perabot negara.

“Saya pernah lancar tetapi selepas Pakatan Harapan (PH) ambil alih, mereka tidak buat apa-apa. Jadi untuk Muar, BN akan pastikan supaya ia dapat dilaksanakan serta ada satu lagi projek menanti untuk dilancar dan diluluskan iaitu Maharani Energy Gateway, satu pelaburan sangat tinggi yang akan mengubah wajah Muar,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azizuddin berkata Ikhtiar BN Johor yang mewajibkan setiap wakil rakyat mengisytihar harta dan enakmen lompat parti merupakan elemen yang amat penting dalam memperkukuh tadbir urus baik dan integriti.

“Di peringkat parti sekarang ini, kita tidak tahu sejauh mana mereka memperjuangkan isu ini tetapi daripada pihak BN, sudah jelas dalam manifesto mereka kena tunaikan janji, kalau tidak rakyat akan hukum BN pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Ikhtiar BN yang disifatkan sebagai ‘titah’ penting perlu dilaksanakan sekiranya parti itu tidak mahu dihukum rakyat.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

669
Kongsi :
Previous post INSPIRE Budak Bola FC muncul juara Piala Datuk Ridhwan Mohd Ali
Next post Kit RTK COVID-19 buatan Malaysia capai ketepatan 100 peratus
Ubah saiz-+=