Bot: Aset baharu Bernama tingkat kualiti liputan berita

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menambah aset baharu sebuah bot bagi meningkatkan kesiapsiagaan berdepan bencana banjir dalam melaksanakan tugas dengan lebih efisien pada masa depan, sekali gus menambah baik kualiti pelaporan berita dan misi bantuan.

Pengerusinya Datuk Ras Adiba Radzi berkata penambahan aset terbaharu itu dilihat penting dalam melaksanakan tugasan pelaporan berita khususnya apabila negara dilanda bencana luar biasa dan luar jangka baru-baru ini.

“Bot yang kita ada ini adalah satu inisiatif yang cukup bagus untuk Bernama khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Dengan adanya aset ini, kita juga boleh turun padang untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Ras Adiba dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain merasmikan program Singgah Kebun di Kebun Bandar Bernama sekitar Sungai Bunus, di sini dengan simbolik penanaman anak pokok Roselle, sebelum program diteruskan dengan aktiviti bercucuk tanam melibatkan warga kerja Bernama di kebun bandar itu.

Mengulas mengenai program itu, Ras Adiba berkata ia adalah satu usaha yang baik dan perlu dipergiatkan memandangkan aktiviti menghijaukan kawasan bandar dilihat mampu memberi kesan positif kepada alam sekitar dan kesihatan mental.

“Sebagai seorang yang berada dalam dunia kewartawanan, sudah tentu aktiviti begini penting untuk kita menenangkan diri daripada tekanan kerja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah II Institut Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Wan Nurul Mardiah Wan Mohd Rani yang turut hadir pada program itu berkata inisiatif kebun bandar itu bertujuan memelihara kawasan hijau sepanjang Sungai Bunus di samping melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi.

Wan Nurul Mardiah yang juga Pengerusi Kelab Kebun Bandar Sungai Bunus berkata kebun gabungan pelbagai agensi itu diteroka oleh tiga tunjang utama iaitu UTM, Bernama dan Expressionz pada 2016, sebelum disertai oleh agensi lain antaranya Yayasan Patriot dan Persatuan Pustakawan Malaysia serta mendapat sokongan penuh daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata selain menjadi kawasan hijau dalam sesebuah bandar, kebun bandar itu juga akan dijadikan sebagai satu daripada platform penyelidikan pada masa depan.

“Dengan penubuhan kelab ini, kami merancang pelbagai jenis aktiviti termasuk penyelidikan. UTM melihat kebun ini sebagai tapak ‘makmal hidup’ yang kita boleh belajar dan aplikasikan pelbagai teori pelestarian. Insya-Allah dalam dua ke tiga tahun akan datang kita dapat lihat hasilnya dan menilai kemampanan program ini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan pendaftaran bagi kelab itu secara rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

“Sebelum ini kita bergerak di bawah kelab tidak rasmi, tetapi sekarang kita cuba untuk dapatkan geran. Insya-Allah kita akan dapat perkembangan mengenai proses permohonan ini dalam tempoh tiga ke empat bulan akan datang,” katanya sambil berkongsi kebun bandar itu pernah memenangi anugerah Kebun Kejiranan Local Agenda 21 (LA21) di bawah DBKL pada 2018.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

671
Kongsi :
Previous post Penyu agar ditemukan lemah di pantai Port Dickson
Next post Perhilitan tangkap gajah liar masuk kampung di Jerteh
Ubah saiz-+=