‘Budak jahat bukan selamanya jahat’

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

TELOK MAS 5 Oktober – “Kejayaan ini jadi bukti kepada semua bahawa budak jahat, tidak selama-lamanya jahat.” Itu kata Muhammad Fitri Sulaiman, 20 yang berjaya mengubah diri ke arah lebih baik selepas tiga tahun ditempatkan di Sekolah Henry Gurney Telok Mas.

Muhammad Fitri merupakan antara pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dari sekolah berkenaan selepas meraih keputusan 6A, 1B dan 1C.

Menurut pemuda berasal Seri Manjung, Perak itu, tahun 2019 merupakan detik hitam buatnya apabila mula mendekatkan diri dengan jenayah sehinggalah dicekup dan dimasukkan ke sekolah berkenaan.

Perbuatan itu membuat hati keluarganya remuk dan sukar menerima hakikat anak yang sepatutnya menjadi harapan terjerumus ke lembah kegelapan.

Namun, siapalah hendak menidakkan, rupanya ada hikmah apa yang dilakukan apabila perlahan-lahan dia mula mengubah diri ke arah yang lebih baik sehinggalah berjaya membanggakan semula keluarganya dalam pelajaran.

“Saya jadi begini bukan sebab kawan-kawan, tapi diri sendiri. Pada waktu itu semua benda jahat saya dah buat dan keluarga sudah tidak mampu nak halang.

“Sehinggalah saya dimasukkan ke sini dan menimba macam-macam ilmu seperti ilmu agama, integriti, disiplin, cara bergaul dan lain-lain. Di sinilah tempat saya berubah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney 2021 di Dewan Parameswara Sekolah Henry Gurney Telok Mas, hari ini.

photo1664955660 (1)
Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia, Ajidin Salleh menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2021 Sekolah Henry Gurney kepada Muhammad Fitri Sulaiman sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney 2021 di Sekolah Henry Gurney Telok Mas. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Muhammad Fitri, kejayaan itu juga membantunya mendapatkan semula kemaafan keluarga, terutama ibunya yang sebelum ini begitu terluka dengan dosa silam yang dilakukan.

“Saya akui sebelum ini saya banyak kecewakan ibu saya. Saya tak pernah bercakap dan peluk ibu saya…Kini saya rasa bahagia apabila keluarga sudah memaafkan kesilapan saya dan menerima diri saya yang baharu,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi seorang tentera udara.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Muhammad Mudasar Iqbal Khizar Hayat, 21, pula menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah untuk orang terpenting dalam hidupnya.

Dia yang meraih keputusan 6A, 2B dalam SPM 2021 bertekad menunaikan janji kepada ibu dan ayahnya untuk melupakan cita-cita menjadi seorang peninju dan mementingkan akademik.

“Bila masuk ke Sekolah Henry Gurney saya nekad untuk menunaiukan apa yang keluarga saya mahukan dan demi masa depan saya.

“Sampai bila saya nak buat jahat, jadi saya cuba berubah untuk menjadi normal seperti orang lain dan akhirnya saya berjaya meraih kejayaan ini untuk bergelar seorang pendidik suatu hari nanti,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, kedua-dua mereka menerima Anugerah Pelajar Cemerlang daripada Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia Komisioner Penjara Ajidin Salleh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3696
Kongsi :
Previous post Isu kesesakan di penjara semakin terkawal
Next post Armada TLDM ukur kemampuan pertahanan samudera raya di Laut China Selatan
Ubah saiz-+=