Isu kesesakan di penjara semakin terkawal

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

TELOK MAS 5 Oktober – Masalah kesesakan di penjara seluruh negara kini semakin dapat ditangani menerusi beberapa langkah yang diambil Jabatan Penjara Malaysia.

Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata, antara langkah yang diambil ialah pelepasan awal banduan kepada masyarakat menerusi sistem parol dan pelepasan secara berlesen.

Katanya, pelepasan secara berlesen yang dimulakan pada 2020, misalnya, menunjukkan impak cukup positif apabila data menunjukkan kecederungan banduan dilepaskan awal untuk mengulangi jenayah dan kembali ke penjara adalah rendah.

“Pelepasam awal ini dilakukan secara bersyarat iaitu mereka (banduan) perlu mempunyai pekerjaan dan ada perlindungan daripada keluarga.

“Statistik yang kita terima ialah kurang tiga peratus banduan yang dilepaskan awal melalui parol dan pelepasan secara berlesen mengulangi jenayah.

“Ia menunjukkan impak daripada langkah itu cukup baik yang mana mereka bukan sahaja dapat membantu keluarga, bahkan mempercepatkan pemulihan dan lebih mudah diterima oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney 2021 di Dewan Parameswara Sekolah Henry Gurney Telok Mas, hari ini.

photo1664954674
Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia, Ajidin Salleh bergambar bersama pelajar cemerlang Sekolah Henry Gurney bagi SPM 2021 sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney 2021 di Sekolah Henry Gurney Telok Mas. Turut hadir bersama Pengarah Penjara Melaka, Roslan Mohamed. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama Pengarah Penjara Negeri Melaka Timbalan Komisioner Penjara Roslan Mohamed dan Pengarah Sekolah Henry Gurney Telok Mas Penolong Komisioner Penjara Zan Azim Aziz.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini antara kawasan yang dikesan mengalami kesesakan di penjara ialah di Utara Semenanjung, Pantai Timur Semenanjung dan Sabah yang melangkaui 50 hingga 80 peratus daripada kapasiti sebenar.

Meskipun begitu, katanya, menerusi pengkategorian penjara dan penambahan blok baharu, selain pemindahan banduan ke negeri-negeri lain, kes kesesakan itu semakin terkawal.

“Seperti contoh di Kelantan, kita telah memulakan pengkategorian penjara mengikut kategori dan tahap risiko banduan.

“Contoh di Penjara Pengkalan Chepa, ia dijadikan penjara reman, diikuti Pusat Pemulihan Machang sebagai penjara latihan, manakala Kuala Krai dan Pasir Mas masing-masing berfungsi sebagai penjara pemasyarakatan dan kemasukan.

“Selain itu bagi mengimbangi kesesakan di sesebuah negeri, kita juga bertindak melakukan pemindahan banduan ke negeri-negeri lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2300
Kongsi :
Previous post Pelajar cemerlang Sekolah Henry Gurney tangguh hasrat ke menara gading demi adik-adik
Next post ‘Budak jahat bukan selamanya jahat’
Ubah saiz-+=