Bunuh anjing: Pengimpal dijel 12 bulan

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

JASIN 10 Nov. – Seorang tukang kimpal dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan termasuk membunuh seekor anjing 5 November lalu.

Majistret Suzana Mokhtar menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Surais, 38, yang membuat pengakuan bersalah bagi kedua-dua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati dengan sengaja melakukan khianat dengan membunuh seekor anjing milik G.N.M. Pusparani, 50, menggunakan senjata tajam kira-kira pukul 9.30 malam di sebuah rumah di Jalan Teratai, Taman Maju pada 5 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 488 Kanun Keseksaan kerana didapati dengan sengaja melakukan pencerobohan dengan memasuki rumah pemilik anjing tersebut pada waktu dan tarikh yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tukang kimpal itu didapati telah menikam anjing tersebut beberapa kali menggunakan senjata tajam di bahagian perut sehingga menyebabkan usus haiwan itu terkeluar dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam.

Anjing malang itu bagaimanapun disahkan mati selepas lebih lima jam kemudian iaitu pada pukul 2.45 di sebuah pusat veterinar semasa menerima rawatan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dalam bentuk denda bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan anjing sama pernah mengejarnya sehingga menyebabkannya cedera akibat terjatuh dari motosikal ditunggangi enam bulan lalu

Tertuduh turut mengakui dia juga ada memelihara seekor anjing di rumahnya.

Pendakwa dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd. Yunos bagaimanapun memohon hukuman penjara diberikan dengan mengambil kira faktor ketidakberperikemanusiaan tertuduh, selain haiwan itu terseksa lebih lima jam menanggung kesakitan.

Selain itu, katanya ketika kejadian anjing betina berkenaan juga diikat dan tidak dapat melepaskan diri.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, Suzana kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan membunuh haiwan dan empat bulan atas kesalahan menceroboh.

Beliau bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu 5 November lalu.

Views:

1343
Kongsi :
Previous post Diskaun 50 peratus lawati pelancongan Melaka
Next post Buku saringan kesihatan, tanggungjawab pemilik premis – Abdul Ghafaar
Ubah saiz-+=