Bursa Malaysia dibuka rendah, kegiatan membeli berterusan

0
93
BURSA Malaysia. Foto internet

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Kegiatan pembelian berterusan dalam kalangan pelabur berikutan desas-desus mengenai pilihan raya awal yang semakin nyata menyebabkan Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 7.31 mata pada 1,487.89 selepas dibuka 0.89 mata lebih rendah pada 1,493.31.

Kaunter rugi mengatasi untung dengan 320 berbalas 102 manakala 273 kaunter tidak berubah, 1454 tidak diniagakan dan 80 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 388.31 juta bernilai RM150.01 juta.

Kaunter tenaga mencatatkan kerugian terbesar dengan merosot 1.34 peratus kepada 655.74 mata selepas minyak mentah Brent jatuh di bawah paras US$40 setong.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti umum Maulidur Rasul.

Seorang penganalisis berkata saranan yang dibuat semalam telah meningkatkan kebimbangan para pelabur bahawa pilihan raya umum ke-15 akan diadakan awal tahun hadapan selepas pandemik COVID-19 dapat dikawal.

“Sebenarnya ada dua sisi dalam perkara ini. Yang baiknya ialah ketidakpastian politik akan berakhir dan satu sisi lagi ialah ia akan menghentikan keyakinan pelabur dalam tempoh yang lama, dan ini boleh memperlahankan pemulihan ekonomi,” kata beliau.

Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan pilihan raya umum (PRU) setelah pandemik koronavirus (Covid-19) dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.

Sementara itu dari sudut teknikal, beliau menambah dengan keadaan seperti ini berterusan di pasaran, penanda aras KLCI akan terus menyusut dan menguji paras 1,450 dengan halangan segera pada 1,500.

“Kedudukan jualan berlebihan akan berterusan sehingga munculnya pemangkin baharu yang boleh mengubah keadaan,” kata beliau.

Untuk pergerakan global pula, pilihan raya presiden AS pada 3 Nov turut memberi impak kepada hala tuju pasaran.

Untuk prestasi kaunter berwajaran tinggi, Petronas Chemicals turun 10 sen kepada RM5.85, Axiata dan Top Glove masing-masing susut lapan sen kepada RM2.96 dan RM8.70 sementara Public Bank turun 12 sen kepada RM15.56.

Petronas Chemicals dan Public Bank turut mendahului kaunter rugi pagi ini.

Bagi kaunter paling cergas, ia didominasi oleh kaunter teknologi dengan Vivocom meningkat setengah sen kepada 50 sen, Dataprep menambah 1.5 sen kepada 21 sen sementara saham untung, British American Tobacco naik 21 sen kepada RM10.16 didorong oleh prestasi pendapatan suku tahunan yang lebih baik.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 53.60 mata kepada 10,767.03, Indeks FBMT 100 menyusut 53.06 mata kepada 10,578.79 dan Indeks FBM Emas Shariah lebih rendah sebanyak 68.52 mata kepada 12,909.83.

Sementara itu, FBM 70 berkurangan 75.56 mata kepada 14,168.58 dan FBM ACE lemah 49.61 mata kepada 9,770.93.

Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 42.32 mata kepada 12,218.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1.05 mata kepada 142.79 dan Indeks Perladangan melonjak 2.33 mata kepada 6,924.89.

– BERNAMA