KOPETRO sambut ulang tahun ke-40 secara sederhana berikutan COVID-19

0
110
KOPERASI Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO). Foto internet

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Berikutan pandemik COVID-19, Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO) hari ini menyambut ulang tahun ke-40 secara sederhana walaupun acara itu sepatutnya disambut secara besar-besaran, tahun ini.

Pengurus Kanan Komunikasi KOPETRO Ahmad Hazil Abd Lateff berkata berikutan itu, KOPETRO akan menggunakan platform media sosial dalam kalangan warganya memandangkan acara itu dilakukan dalam skala sederhana.

“Disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang masih membelenggu rakyat Malaysia, kami di KOPETRO juga tidak terkecuali daripada mendapat tempias akibat penularan wabak ini.

“Namun, sikap positif seluruh warga kerja di KOPETRO dalam menjayakan sambutan ulang tahun KOPETRO ke-40 ini sangat membanggakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah berkata dalam mencapai usaha 40 tahun, KOPETRO berjaya mengekalkan kedudukan sebagai 10 koperasi terbaik di Malaysia di dalam tempoh 10 tahun terakhir ini.

Beliau berkata antara faktor kejayaan KOPETRO adalah ia sentiasa mengambil kira pandangan warga kerja sebagai langkah memajukan lagi perniagaan serta membuat penambahbaikan dalam pengurusan.

“Tanpa sokongan daripada kakitangan dan pihak pengurusan yang memainkan peranan dalam urus tadbir KOPETRO, koperasi ini tidak akan mampu untuk berdiri seteguh ini selama 40 tahun.

“Kebajikan anggota dijaga dengan sebaik mungkin bagi memastikan mereka mendapat faedah-faedah sebagai anggota koperasi,” katanya.

Sehingga suku ketiga 2020, KOPETRO telah mencatat jualan sebanyak RM156 juta dan memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM2.8 juta.

Nilai itu dijangka terus meningkat sehingga hujung tahun berikutan permintaan tinggi terhadap beberapa perkhidmatan dan produk dari anak syarikat KOPETRO.

— BERNAMA