Cekal besarkan anak istimewa, Rahamah diangkat ibu inspirasi negara

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 14 Mei – Emosi seorang ibu bercampur-baur tatkala menerima ujian dari yang Maha Esa apabila anak bongsunya disahkan menghidap cerebral palsy.

Namun gelaran ibu inspirasi wajar diberikan kepada Rahamah Mohtar, 61, yang cekal mengharungi dugaan dan sanggup berulang-alik ke hospital lebih 20 tahun demi mendapatkan rawatan terbaik sehinggalah kini, anaknya itu mampu menguruskan diri sendiri.

Menurut Rahamah apabila dimaklumkan doktor pakar bahawa anak bongsunya, Ahmad Mujahid Azmi, 21, berkemungkinan terlantar seumur hidup dunianya seakan gelap seketika.

Namun ibu kepada lapan cahaya mata itu enggan berputus asa, sebaliknya bertekad mahu memastikan anaknya itu diberi sepenuh perhatian agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Ahmad Mujahid dilahirkan kembar dan dia terpaksa duduk dalam inkubator selama setahun sebelum dibenarkan pulang.

“Sejak itu saya berulang-alik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang malah hospital itu jadi rumah kedua apabila perlu berulang-alik 20 kali dalam sebulan untuk rawatan susulan.

“Kadang-kala Ahmad Mujahid diserang sawan, sekejap-sekejap seperti ‘putus nyawa’, dan kemudian apabila baru pulang dari hospital, wajahnya kebiruan, terpaksa dimasukkan ke hospital semula, jadi bermacam-macam dugaan saya lalui dalam membesarkannya,” katanya kepada pemberita.

Rahamah yang mempunyai dua pasang anak kembar dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inspirasi Ibu pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka, di sini, 12 Mei lalu.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ketika berkenan merasmikan majlis sambutan itu dan mengurniakan anugerah tersebut kepada Rahamah.

Photo1715506485
RAHAMAH menerima kucupan daripada anak sulungnya Amirah Nasihah Azmi, 32, selepas menerima Anugerah Inspirasi Ibu yang disampai oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Keluarga LPPKN Ayer Keroh. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Bekas guru itu berkata, dia bersyukur berkat kesabarannya memberi sepenuh perhatian kepada anak bongsunya, Ahmad Mujahid boleh bertutur dan berjalan pada usia tiga tahun malah menghabiskan sesi persekolahan sehingga ke Tingkatan Lima di sekolah pendidikan khas.

“Sepanjang membesarkannya, dia sering diserang sawan dan mengalami gangguan emosi serta tantrum sehingga menguji kesabaran seorang ibu namun janji Allah SWT itu benar, apabila kita susah dan kembali kepada-Nya, saya tak rasa ia satu kesusahan tetapi lebih kepada ujian dan ganjaran pahala.

“Kami sekeluarga diuji sekali lagi apabila suami yang sebelum ini sihat walafiat diserang penyakit strok tiga tahun lalu dan terlantar.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dikurniakan anak yang ramai dan sangat membantu untuk bergilir menjaga suami malah seorang daripada anak saya sanggup berkorban menangguhkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana perlu menjaga bapanya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

99
Kongsi :
Previous post Jualan Rahmah di Melaka kekal diadakan setiap bulan
Next post MCORP tambah baik nilai kerja dekati masyarakat
Ubah saiz-+=