Covid-19: 266 kertas siasatan berita palsu dibuka – Saifuddin

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MELAKA 6 Julai – Sebanyak 266 kertas siasatan melibatkan penyebaran berita palsu telah dibuka dalam tempoh penularan wabak Covid-19 di negara ini sehingga kini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu,  sebanyak 30 kes telah dibawa ke mahkamah, 13 masih dalam perbicaraan, 17 kes melibatkan suspek mengaku bersalah, 172 kes masih dalam siasatan, manakala selebihnya di peringkat awal proses tindakan.

“Kita kena buat penafian serta pemakluman bagi setiap berita palsu yang disebarkan dan ada berita palsu yang wajar diambil tindakan undang-undang bersama polis.

“Kita terpaksa buat bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran yang tidak sewajarnya berlaku dalam kalangan masyarakat. Saya juga menyeru rakyat Malaysia agar berhenti menularkan berita palsu, sahkan dahulu, jangan ‘forward’, ‘sharing’… sahkan dahulu, sahih barulah kita kongsi,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penyampai radio Melaka FM Daim Zainudin ketika ditemu bual secara langsung dalam lawatannya ke stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka di Jabatan Penyiaran Melaka di sini.

Dalam lawatan itu juga beliau membuat rakaman membaca berita ketika melawat bilik Berita Ehwal Semasa (RTM) Melaka yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Suriani Ahmad

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata sebanyak 348 penjelasan telah dikeluarkan bagi memberikan maklumat tepat dan sahih berkaitan sesuatu isu yang ditularkan.

Usaha mengekang penyebaran berita palsu di negara ini juga sentiasa dipantau pasukan respons pantas yang bertugas hampir 24 jam sehari.

“Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat sahih menerusi laman sesawang sebenarnya.my atau bertanya kepada pihak berkaitan,” katanya.

– BERNAMA

Views:

456
Kongsi :
Previous post Cadangan pinda Akta DBP mampu tingkat kesedaran guna bahasa kebangsaan
Next post Pelajar lelaki maut dalam kemalangan
Ubah saiz-+=