Cuci mata di Jonker Walk pasca PKP

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

SELEPAS lebih tiga bulan rakyat ‘terpenjara’ ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kini semua boleh menarik nafas lega apabila banyak sekatan telah ditarik balik selepas negara mula berada dalam fasa pemulihan Covid-19

Situasi itu membolehkan industri pelancongan domestik kembali bernafas dengan memperlihatkan beberapa kawasan tumpuan pelancongan mula dipenuhi pengunjung.

Dari pulau peranginan hinggalah ke kawasan tanah tinggi dan pantai-pantai mula menunjukkan kebanjiran pengunjung dari seluruh negara.

Antara peniaga di Jonker Walk

Impak sama turut dirasai negeri bersejarah, Melaka yang kini kembali ‘hidup’ apabila puluhan ribu kenderaan mula memasuki negeri ini sejak awal bulan ini.

Lokasi pelancongan tumpuan di negeri ini sudah tentulah terarah di Jalan Hang Jebat atau nama popularnya Jonker Walk.

Jika dahulunya, kawasan ini cukup sesak dan sentiasa menjadi tumpuan setiap hujung minggu, kini situasi sama mula dirasai.

Walaupun kemeriahannya tidaklah ‘gah’ seperti dahulu, namun kebanyakan pelancong domestik masih menjadikan tempat ini sebagai lokasi wajib dikunjungi apabila bertandang ke Melaka.

Gerai ala ‘street food’ di Jonker Walk terus menjadi perhatian para pengunjung.

Tinjauan Melaka Hari Ini ke lokasi berkenaan mendapati suasana malam di Jonker Walk masih meriah dengan aktiviti perniagaan, selain turut menjadi ‘port’ lepak untuk cuci mata bagi pengunjung luar mahupun rakyat negeri ini.

Aktiviti jual beli masih rancak dijalankan dengan pelbagai jenis barangan ada di sini. Daripada barangan vintaj, makanan, pakaian dan cenderamata ‘rare’ boleh anda dapati di Jonker Walk.

Selain itu, anda juga masih boleh menghirup udara malam sambil menjamu mata dengan keindahan lampu berwarna-warni dan bergambar di struktur bangunan lama yang masih utuh hingga ke hari ini.

Perkhidmatan beca menanti para pengunjung Jonker Walk

Sudah puas berjalan, anda juga boleh menaiki beca unik yang tersedia untuk untuk merasai suasana berbeza di sekitar Jonker Walk dan Banda Hilir.

Memang diakui aktiviti pelancongan kini sedikit berubah dek perlu disesuaikan dengan norma baharu, namun semua itu bukan penghalang untuk kita terus memberi sokongan kepada sektor pelancongan domestik yang kini perlu bertatih untuk kembali bangkit.

Diharap rakyat dapat menggunakan kuasa berbelanja mereka untuk datang dan bercuti ke negeri Melaka bagi membolehkan ekonomi negeri dan masyarakat setempat kembali pulih.

Hampir kesemua pengunjung Jonker Walk mengamalkan pemakaian topeng muka.

Apapun, dalam kemeriahan melancong, jangan sesekali lupa untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti penjarakan sosial dan sentiasa memakai topeng pelitup muka di tempat sesak.

Ingat, kita masih belum menang dalam melawan pandemik Covid-19. Justeru, amalkanlah prinsip ‘kita jaga kita’ bagi memastikan Malaysia bebas sepenuhnya daripada pandemik ini, sekali gus mengembalikan ekonomi negara seperti sedia kala.

Views:

367
Kongsi :
Previous post PKP: Hentikan sikap ‘saya tidak peduli’
Next post Sukar untuk Malaysia Airlines dan AirAsia bergabung
Ubah saiz-+=