Dasar rasionalisasi perlu diteruskan – TYT

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 13 Mac – Dasar Rasionalisasi ke atas badan berkanun dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri perlu diteruskan agar tidak menjadi beban malah dapat berdaya saing serta menjadi penyumbang utama pembangunan ekonomi serta hasil negeri.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berkata, badan berkanun dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri perlulah meningkatkan kecekapan dan kepakaran serta meneroka peluang-peluang mendapatkan modal dari pasaran modal yang lebih kompetitif selain tidak hanya bergantung kepada kerjasama dan modal daripada pihak ketiga.

“Badan berkanun dan anak-anak syarikat boleh melaksanakan ‘credit rating’ dengan agensi rating yang bertauliah bagi mengorak peluang untuk kepasaran bon dan sukuk.

“Cuba bandingkan kejayaan badan berkanun dan anak-anak syarikat di negeri lain yang jauh lebih berjaya untuk dijadikan penanda aras,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian pembukaan persidangan Pertama, Pengggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, hari ini.

Hadir sama isteri Tun Mohd Ali, Toh Puan Asmah Abdul Rahman, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; barisan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Tun Mohd Ali berkata, Kerajaan Negeri juga boleh merancang untuk mewujudkan Tabung Pelaburan Amanah Hartanah (REITS) dengan kaedah syarikat tujuan khas (SPV) bagi membeli dan menstruktur semula aset berkualiti milik badan berkanun dan anak syarikat untuk dibangunkan.

“Aset-aset terbiar yang ada di Melaka seperti tanah kerajaan, tanah wakaf dan bangunan terbiar dapat diaktifkan penggunaannya bagi menjana ekonomi serta dapat memberi pulangan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1095
Kongsi :
Previous post Unit IPT Melaka perlu diaktifkan – Tun Mohd Ali
Next post Kaji taraf perjawatan penjawat awam Melaka
Ubah saiz-+=